Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bos Lewis & Co nafi jadi pemegang amanah Yayasan Akalbudi

Rakan kongsi firma guaman Tetuan Lewis & Co, V Premshangar menafikan firmanya pernah menjadi pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Dakwaan itu memang sering ditimbulkan dengan konsisten oleh pasukan pembelaan sepanjang perbicaraan rasuah, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Premshangar membuat penafian itu ketika peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik membangkitkan tentang fail Yayasan Al-Falah di firma guaman tersebut.

Hisyam: Saya cadangkan, semua cek dan cek jurubank yang direkodkan di dalam fail dan lejar, duit itu kepunyaan Yayasan Akalbudi dan bukan Yayasan Al-Falah. Kamu setuju atau tidak setuju dengan cadangan saya?

Premshangar: Saya tak boleh jawab sebab saya tak kendalikan fail ini. (Tapi) Kami (Lewis & Co) tak ada fail Yayasan Akalbudi di pejabat. Kami tak pernah jadi pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Malah, tambahnya lagi, dia telah pun terlebih dahulu memeriksa rekod lejar dan pembukaan fail di pejabatnya untuk mengesahkan bahawa mereka tidak pernah membuka fail untuk Yayasan Akalbudi.

“Kami tak pernah mewakili (acted for) Yayasan Akalbudi”, katanya.

Premshangar merupakan saksi ke-86 perbicaraan yang masuk hari ke-32 hari ini.

Seorang lagi rakan kongsi Lewis & Co ialah B Muralidharan.

Bagaimanapun, kata Premshangar, sia tidak mempunyai pengetahuan peribadi berkaitan pengurusan dan arahan di fail Yayasan Al-Falah di Lewis & Co kerana ia diuruskan oleh Muralidharan.

Pada 30 Julai lalu, akauntan Lewis & Co hadir memberikan keterangan bahawa firma tersebut ada membuka fail atas nama Yayasan Al-Falah pada Mei 2016, bagi tujuan kebajikan.

Akauntan berkenaan, V Sothilechmy, juga mengesahkan bahawa Yayasan Akalbudi bukanlah pelanggan kepada Lewis & Co. 

Menurut keterangan saksi ke-66 pada 17 Jun lalu, peguam dan ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, Yayasan Al-Falah dipengerusikan oleh adik Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, yang juga merupakan pemegang amanah sepertinya dan penandantangan wajib bagi yayasan tersebut.

Faisalludin turut menjelaskan perbezaan kedua-dua yayasan berkenaan, iaitu Yayasan Al-Falah ialah yayasan keluarga besar Hamidi@Ahmad Tarmidzi Radin Abdul Fateh, manakala Yayasan Akalbudi pula adalah untuk Ahmad Zahid seorang sahaja.

Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.

Bekas timbalan perdana menteri itu berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah puluhan juta menerusi peguam dari Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Pada 3 Mac, saksi ke-39, Lee Siew Kong yang merupakan pengurus cawangan Maybank mengesahkan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM 99 juta ke akaun pelanggan Lewis & Co, melalui 129 transaksi antara Mei 2016 hingga April 2018.

Daripada jumlah itu, sebanyak lebih RM66 juta dipindahkan ke akaun simpanan tetap Lewis & Co melalui 28 penempatan simpanan tetap.

'Tiada arahan terus dari Zahid'

Sothilechmy sebelum ini turut mengesahkan pemindahan jumlah wang sama ke akaun pelanggan firma tersebut melalui 28 penempatan simpanan tetap, berdasarkan rekod yang disimpan di dalam fail Yayasan Al-Falah di Lewis & Co.

Dalam pernyataan saksinya juga, Premshangar memberitahu, akaun pelanggan  Lewis & Co dibuka pada Mei 2016, untuk menyimpan wang milik anak guam firma guaman berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak terlibat dengan urusan kemasukan cek dan pengeluaran wang daripada akaun tersebut kerana ia diuruskan oleh rakan kongsinya, Muralidharan.

“Saya tidak ada menerima apa-apa arahan secara terus daripada Ahmad Zahid berkaitan dengan kemasukan cek-cek ke dalam akaun ini dan arahan hanya melibatkan antara Ahmad Zahid dan Muralidharan.

“Saya sahkan saya tiada pengetahuan bagaimana Lewis & Co boleh terlibat dalam pengurusan duit daripada Ahmad Zahid dari permulaan kerana perkara tersebut diuruskan sepenuhnya oleh rakan kongsi saya iaitu Muralidharan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan balas, jelasnya, dia hanya pernah menguruskan hal-hal litigasi sivil sahaja untuk Ahmad Zahid.

Pemeriksaan utama hari ini dilakukan oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt.

Terdahulu, ekoran pindaan yang dibuat terhadap 12 pertuduhan CBT dan dua pertuduhan rasuah Ahmad Zahid semalam, pasukan pembelaan memaklumkan mahkamah hasrat memanggil semula enam orang saksi yang telah memberikan keterangan sebelum ini.

Pasukan pendakwaan pula memaklumkan Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa mereka akan memaklumkan saksi apabila tiba masanya mereka diperlukan nanti supaya persediaan boleh dilakukan.

Perbicaraan bersambung esok. 

Lihat Komen
ADS