Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Tahanan bergari maut setelah lepaskan diri dan terjun tingkap
Diterbitkan:  Aug 11, 2020 2:28 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Tahanan bergari yang maut akibat terjatuh dari tingkat lima Kompleks Mahkamah Pulau Pinang semalam melarikan diri daripada kawalan polis dan terjun ke bawah melalui tingkap, kata Ketua Polis Pulau Pinang Shahabudin Abd Manan.

Shahabudin berkata, bedah siasat di Hospital Pulau Pinang mendapati punca kematian adalah "kecederaan kepala akibat jatuh dari tempat tinggi" dan doktor menyatakan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

"Pada jam lebih kurang 11.35 pagi, semasa si mati berada di bilik mahkamah tingkat lima, dia mengadu hendak ke tandas dan telah diiring oleh seorang anggota mahkamah.

"Semasa dalam perjalanan, si mati yang bergari cuba melarikan diri ke arah tingkap dan telah cuba dihalang oleh anggota polis eskot.

"Bagaimanapun si mati berjaya melepaskan diri dan telah terjun ke bawah melalui tingkap tersebut. Anggota polis eskot mengalami kecederaan di tangan kiri dan jari tangan kanan semasa berusaha menghalangnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan dalam Tahanan (Edict) meminta polis menjelaskan insiden itu setelah menerima laporan bahawa seorang lelaki bernama Wong Kok Leong, 30, ditemui mati dengan tangan bergari di kompleks tersebut.

"Kematian seperti ini telah menjadi kebiasaan. Kami sangat bimbang terhadap trend kematian seperti ini tanpa campur tangan pihak berkuasa," kata Edict, sambil memaklumkan pihaknya juga diberitahu tentang satu lagi kes melibatkan kematian seorang tahanan Indonesia di Penjara Sungai Buloh.

Shahbudin berkata, si mati bekerja sendiri dan mempunyai dua rekod jenayah dan empat rekod dadah.

"Pada 6 Ogos, si mati ditangkap di Jelutong, Pulau Pinang atas kesalahan mencederakan jirannya hingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan retak tulang bawah mata kanan. Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

"Pada 10 Ogos, si mati dituduh di bawah seksyen itu di Mahkamah Sesyen George Town, dan dijatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara tiga bulan," katanya lagi.

Katanya lagi, kematiannya disiasat di bawah laporan mati mengejut dan Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuai menyebabkan orang tahanan lari, yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Lihat Komen
ADS