Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Cek dimasukkan ke akaun Yayasan Al-Falah atas arahan Zahid

Daripada 92 cek bernilai hampir RM77 juta yang dimasukkan ke akaun pelanggan yang dibuka untuk Yayasan Al-Falah di firma guaman tetuan Lewis & Co, tidak ada satu pun datang daripada Yayasan Al-Falah sendiri.

Menurut rakan kongsi di Lewis & Co, B Muralidharan, kesemua cek dan cek jurubank itu sebaliknya diberikan oleh Ahmad Zahid Hamidi untuk dimasukkan ke akaun pelanggan tersebut.

Katanya, arahan untuk membuka akaun pelanggan untuk Yayasan Al-Falah tersebut juga dibuat atas arahan Ahmad Zahid, malah satu fail dibuka untuk Yayasan Al-Falah mengandungi lejar bagi merekod semua transaksi itu juga dibuat atas arahan Ahmad Zahid.

Muralidharan berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran dalam perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid yang masuk hari ke-33 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Raja Rozela: Kenapa rekodkan kesemua cek atau transaksi berkaitan 92 cek ini di bawah fail Yayasan Al-Falah?

Muralidharan: Saya diarahkan untuk simpan di dalam (fail) Yayasan Al-Falah.

Raja Rozela: Siapa arahkan untuk buka fail Al-Falah?

Muralidharan: Datuk Seri Zahid.

Lagi, katanya, arahan untuk menyimpan wang itu di dalam akaun pelanggan itu juga tidak datang daripada Yayasan Al-Falah, tetapi dari Ahmad Zahid.

Raja Rozela: Adakah arahan (simpan wang dalam akaun pelanggan Yayasan Al-Falah) datang daripada Al-Falah?

Muralidharan: Tak. (Arahan dari) Datuk Seri Zahid.

Menurut keterangan saksi ke-66 pada 17 Jun lalu, peguam dan ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, Yayasan Al-Falah dipengerusikan oleh adik Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, yang juga merupakan pemegang amanah sepertinya dan penandantangan wajib bagi yayasan tersebut.

Faisalludin turut menjelaskan perbezaan kedua-dua yayasan berkenaan, iaitu Yayasan Al-Falah ialah yayasan keluarga besar Hamidi@Ahmad Tarmidzi Radin Abdul Fateh, manakala Yayasan Akalbudi pula adalah untuk Ahmad Zahid seorang sahaja.

Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pembelaan konsisten cuba mencadangkan kepada saksi bahawa Lewis & Co merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, Muralidharan tadi memberikan jawapan senada dengan seorang lagi rakan kongsi Lewis & Co, V Premshangar semalam, bahawa Lewis & Co tidak pernah menjadi pemegang amanah untuk Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah puluhan juta daripada pelbagai pihak, yang kemudiannya diserahkan kepada Lewis & Co untuk didepositkan ke dalam akaun pelanggan firma berkenaan.

Ahmad Zahid kemudian dituduh mengarahkan sebahagian besar wang itu untuk didepositkan ke akaun simpanan tetap di bawah Lewis & Co.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Dalam pernyataan saksinya, Muralidharan berkata, akaun pelanggan itu dibuka pada 20 Mei 2016 di Maybank cawangan Dataran Bangsar atas tujuan menyimpan wang yang diterima “untuk dan bagi pihak” Yayasan Al-Falah sebagai pelanggannya.

Tambah saksi ke-87 itu lagi, fail yang mengandungi lejar itu juga dibuka pada tarikh sama, serta disimpan dan diuruskan oleh keraninya ketika itu.

“Kebanyakan duit daripada 92 cek atau cek jurubank ini kemudiannya dikeluarkan daripada akaun pelanggan - 6286 (untuk Yayasan Al-Falah) dan ditempatkan dalam 27 akaun simpanan tetap di Maybank cawangan Dataran Maybank,” katanya.

Dia turut menyenaraikan kesemua 92 cek bernilai RM76,967,355.41 berkenaan.

Disoal Raja Rozela apakah persetujuan (arrangement) antara Lewis & Co dan Ahmad Zahid berhubung kesemua cek tersebut, Muralidharan memberitahu dia dimaklumkan oleh Ahmad Zahid bahawa cek berkenaan adalah untuk tujuan keagamaan dan kebajikan.

“Terutamanya untuk pembinaan masjid dan (sekolah) tahfiz di Bagan Datuk, untuk tujuan keagamaan dan kebajikan. Saya diarahkan (oleh Ahmad Zahid) untuk letakkan duit dalam akaun simpanan tetap supaya keuntungan (interest) boleh dijana,” katanya.

Ditanya bilakah dia dilantik sebagai peguam Yayasan Al-Falah, Muralidharan berkata sekitar waktu dia menerima cek pertama (first batch of cheques) daripada Ahmad Zahid, sekitar Mei 2016.

Bagaimanapun, ketika disoal lanjut apakah Ahmad Zahid merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah Yayasan Al-Falah, jawab Muralidharan: “Tidak yang arif. Datuk Seri (Ahmad Zahid) bukan (lembaga) pemegang amanah Yayasan Al-Falah”.

Pun begitu, jelasnya, atas arahan Ahmad Zahid juga, ada lima bayaran dibuat menggunakan wang daripada penarikan (upliftment) tiga akaun simpanan tetap, dan daripada wang beberapa cek di dalam akaun tersebut yang tidak ditempatkan di dalam simpanan tetap.

Ia termasuklah sejumlah RM8.6 juta kepada Ri-Yaz Asset Sdn Bhd, RM5.9 juta kepada Bee Garden Holdings Sdn Bhd, RM500,000 kepada Yayasan Restu, RM900,000 kepada Yayasan Akalbudi, dan RM1 juta kepada Teknik Sempurna (M) Sdn Bhd.

Disoal tentang Yayasan Akalbudi, Muralidharan mengaku pernah mendengar mengenai yayasan berkenaan.

Katanya lagi, setakat pengetahuannya, Ahmad Zahid merupakan pemegang amanahnya dan tujuan penubuhannya juga untuk keagamaan dan kebajikan, namun mengakui tak pernah membaca Memorandum & Artikel Pertubuhan (M&A) yayasan itu.

Raja Rozela turut bertanya Muralidharan apakah sebagai peguam bela dan peguam cara, dia bertanggungjawab untuk menyimpan wang daripada cek itu di dalam akaun pelanggan meskipun wang itu bukanlah datang daripada pelanggannya - dalam kes ini, Yayasan Al-Falah.

Jawab Muralidharan: “Saya tahu Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Nasaee mempunyai hubungan rapat. Tak silap saya, ia (Yayasan Al-Falah) merupakan yayasan keluarga [...]” katanya.

Bagaimanapun, Muralidharan tidak sempat menghabiskan jawapannya kerana peguam bela, Hamidi Mohd Noh memohon kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah supaya prosiding berehat seketika kerana tertuduh mahu ke tandas.

Setelah perbicaraan bersambung, peguam bela Hisyam Teh Poh Teik memohon agar prosiding ditangguh esok, memandangkan Ahmad Zahid tidak sihat hari ini.

Perbicaraan bersambung esok. 

Lihat Komen
ADS