Nota editor: Terdapat kesilapan dalam laporan awal Malaysiakini yang menyebut bahawa Azhar Azizan Harun mengakui beliau tidak boleh bercakap bagi pihak menteri ketika persidangan Dewan Rakyat.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menafikan beliau bertindak tidak adil ketika mengendalikan persidangan Dewan Rakyat.

Sebaliknya Azhar berkata, beliau hanya menjalankan tugas sebagai speaker bagi memastikan persidangan parlimen berjalan dengan lancar.

"Saya hanya menjaga masa (sidang Parlimen) saya dan tidak bercakap bagi pihak menteri kewangan.

"Saya tidak mahu membesarkan isu itu sehingga menjadi polemik.

"Saya terima semua kritikan, apa boleh saya buat ini tugas saya," katanya kepada media di parlimen hari ini.

Azhar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan pembangkang bahawa beliau memihak kepada Perikatan Nasional (PN) ketika mengendalikan persidangan pada 6 Ogos lalu.

Pada masa itu, Azhar mencelah soalan daripada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu adakah kabinet bersetuju dengan penyelesaian AS$3.9 bilion daripada Goldman Sachs.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata jumlah AS$2.5 bilion adalah bayaran tunai manakala baki AS$1.4 bilion adalah jaminan bank.

Lim kemudian bertanya adakah kabinet membincangkan dan bersetuju dengan jumlah itu.

Sebelum Zafrul menjawab, Azhar terlebih dahulu mencelah dengan mengatakan “Ini keputusan Kementerian Kewangan dan semestinya akan dibawa ke Kabinet.”

Sementara itu, Azhar hari ini melawat bilik media dan menyerahkan sumbangan berupa pek makanan kepada petugas media di Parlimen.

Sambil memuji peranan pihak media dalam melaporkan perjalanan sidang, Azhar juga berharap mereka meneruskan tugas dengan baik dan berhemah dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat.

ADS