Malaysiakini
BERITA

13 bekas calon PRU14 Bersatu umum keluar parti

Diterbitkan

Sebanyak 13 bekas calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) - sembilan kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - hari ini mengisytiharkan keluar parti.

Bekas calon bertanding kerusi Parlimen terbabit ialah Datuk Dr Mohd Faudzi Musa yang pada PRU14 bertanding di kerusi Parlimen Setiu, Terengganu; Azran Deraman (Jeli, Kelantan); Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh (Besut, Terengganu); Profesor Dr Salihuddin Radin Sumadi (Pasir Salak, Perak); Mohamad Rafidee Hassim (Kuala Krau, Pahang).

Norliza Ngadiman (Penggerang, Johor); Datuk Khairil Anuar Akhiruddin (Larut, Perak); Mohd Nor Hussin (Gua Musang, Kelantan); dan Amirul Fairuzzeen Jamaluddin (Lenggong, Perak).

Bekas calon kerusi DUN ialah Dr Che Ku Hashim Che Ku Mat (Kuala Besut, Terengganu); Kapten Wan Marzudi Wan Omar (Semerak, Kelantan); Dr Wan Zulkhairi Wan Md Zain (Tendong, Kelantan); dan Afif Syairol Abdul Rahim (Bebar, Pahang).

Mohd Faudzi yang mewakili kumpulan berkenaan dalam sidang media di sini, hari ini berkata, mereka akan bertindak sebagai 'kumpulan pemerhati' dan tidak akan menyertai mana-mana parti buat sementara waktu.

"Keputusan dibuat setelah mengambil kira pendapat suara akar umbi dan ia dibuat bukan atas desakan mana-mana pihak," katanya.

Ditanya adakah mereka akan menyertai parti baharu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Parti Pejuang Tanah Air, Mohd Faudzi berkata perkara itu masih dalam perbincangan memandangkan ia belum ditubuhkan secara rasmi.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.