Malaysiakini
BERITA

TMJ kemuka kebimbangan pelaksanaan operasi rentas sempadan

Bernama

Diterbitkan

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengemukakan beberapa kebimbangan mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) rentas sempadan Malaysia dan Singapura ketika lawatan baginda di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Johor Bahru.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook Tunku Ismail, baginda bertitah pihak berkuasa berkaitan telah berjanji untuk menyelesaikannya sebelum sempadan dibuka semula, pada 17 Ogos ini.

"Saya juga telah menasihatkan Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Kesihatan untuk menerbitkan garis panduan mudah dan jelas untuk individu yang ingin merentas sempadan ini di laman sesawang dan saluran media sosial mereka terutamanya mereka yang tinggal di Johor dan Singapura," titah Tunku Ismail dalam hantaran berkenaan.

Menurut hantaran terbabit, Tunku Ismail memaklumkan baginda hari ini mengunjungi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, BSI untuk menerima taklimat dan memerhatikan SOP baharu untuk pembukaan rentas sempadan menerusi Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang akan dilaksanakan pada 17 Ogos ini.

“Saya mengambil berat tentang isu keselamatan rakyat Johor dan berharap agensi-agensi yang terlibat dapat melakukan persediaan terbaik dan rapi untuk mengekang COVID-19,” titah baginda.

Terdahulu, Tunku Ismail tiba di BSI pada kira-kira 3.30 petang dan menerima taklimat tertutup SOP pembukaan rentas sempadan berkenaan daripada Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu.

RGL akan membabitkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi manakala PCA pula bagi pemegang pas imigresen jangka panjang di kedua-dua negara tersebut.

RGL akan membabitkan had kemasukan 400 orang seminggu manakala PCA 2,000 orang sehari.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.