Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis dapatkan bantuan ahli politik agar suami Indira serah diri
Diterbitkan:  Aug 13, 2020 11:23 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

Pihak polis kini mendapatkan bantuan daripada ahli politik kanan tertentu untuk meyakinkan bekas suami M Indira Gandhi yang kini dipercayai berada di luar negara agar pulang ke tanah air.

"Kami telah mendapatkan bantuan daripada ahli politik kanan tertentu untuk meyakinkan bekas suaminya supaya menyerah diri. Ini berterusan dan kami melakukan semua yang kami mampu," kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, dipetik Berita Harian hari ini.

Abdul Hamid berkata pihaknya sedang meneliti langkah sewajarnya dalam usaha mempercepatkan proses menyatukan kembali M Indira Gandhi dengan anak perempuannya, Prasana Diksa.

Tegasnya, pihaknya memandang serius dan mengambil berat keadaan dan perasaan Indira yang terpisah daripada anaknya selepas dilarikan bekas suaminya itu.

"Saya ambil peduli dengan keadaannya dan tindakan yang diperlukan sedang dilakukan untuk mempertemukan Indira dengan anak perempuannya.

"Anak buah saya harus bertindak secara senyap supaya tidak membahayakan dan mendedahkan operasi mengesan bekas suami dan anak perempuannya," katanya pada sidang media di Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Hamid berkata, dia juga akan menghantar seorang pegawai kanan polis wanita untuk bertemu dengan Indira tidak lama lagi.

"Ini untuk meyakinkannya bahawa polis sedang giat bekerja keras mengesan lokasi suaminya. Masalahnya tidak pernah keluar dari radar saya," katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini dalam kenyataan bertulis di parlimen sebelum ini memaklumkan bahawa Muhammad Riduan dipercayai berada di negara jiran untuk mengelakkan dirinya dikesan pihak berkuasa.

Polis melakukan beberapa usaha untuk mengesan keberadaannya selepas Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan tiga orang anaknya kepada Indira pada 11 Mac 2011.

Lihat Komen
ADS