Paling Popular
Terkini

ULASAN | Ramai orang Melayu memandang ringan terhadap amalan Rasuah. Apalah sangat menerima lebih sedikit bayaran daripada yang dihalalkan. Tetapi rasuah dalam negara demokratik boleh memisahkan orang Melayu daripada negara mereka. Boleh hancur orang Melayu.

Dalam demokrasi, rakyat diberi hak memilih kerajaan. Kepercayaan kita ialah rakyat tentu bijak dalam memilih wakil mereka yang akan menubuhkan kerajaan.

Malangnya kuasa memilih ini terdedah kepada rasuah – iaitu kuasa ini boleh dijual. Dan mereka yang mampu membeli, berpeluang untuk meetakkan calon mereka dan menentukan kemenangan mereka.

Inilah sebabnya yang cogan kata “cash is king” atau "wang itu raja" dijadikan kepercayaan Najib Razak. Dengan duit, undi rakyat boleh dibeli dan Najib boleh mendirikan kerajaan sampai bila-bila.

Hari ini Najib. Dan kita dapat lihat kerosakan yang dilakukan olehnya. Bukan sahaja duit kerajaan diselewengkan, tetapi jentera kerajaan dapat disalah guna supaya dia bebas daripada sebarang tindakan.

Maka akan hilanglah pemerintahan mengikut undang-undang (rule of law).

Tetapi selepas kita berjaya menggulung kerajaan kleptokrat, sekali lagi kita dibelenggu rasuah kerajaan.

Kita sedang lihat kerajaan Muhyiddin Yassin membeli sokongan melalui anugerah jawatan dan wang.

Kali ini semua mereka yang tidak menyokong (kerajaan) dilucutkan jawatan, digugur daripada parti, dan didera dengan berbagai cara. Ada yang dituduh secara somberono, disoal berjam-jam, dimasukkan dalam tahanan dan dikenakan reman.

Melayu mangsa terbesar

Sebaliknya yang menyokong dihadiahkan dengan jawatan tinggi, wang dan beraneka jenis kemudahan.

Di Sabah rakyat memilih kerajaan.

Kleptokrat di (peringkat) pusat (membabitkan) membeli ahli parti kerajaan untuk menumbangkan kerajaan. Hasrat rakyat dicabul.

Hari ini Najib dan Muhyiddin. Esok penyangak lain pula akan menyogok dan akan menjual negara ini.

Bolehkah kita pandang ringan rasuah?

Penerimaan amalan rasuahlah yang sebenarnya akan menghancurkan orang Melayu. Rasuah oleh penyangak, musuh, dan orang asing pun boleh tentukan siapa menjadi kerajaan Malaysia.

Apabila mereka ini menjadi kerajaan Malaysia, nasib orang Malaysia tidak lagi akan dilindungi oleh mereka. Sudah tentu Melayu akan jadi mangsa terbesar.

Inilah sebabnya orang Melayu menolak cadangan British untuk membentuk Malayan Union. Dalam Malayan Union siapa sahaja boleh jadi warganegara Malaya dan membentuk kerajaan. Secara langsung Melayu akan dijajah.

Dengan itu akan hilang dan hancurlah bangsa Melayu.

Sekarang semangat kebangsaan sudah hilang. Sekarang terdapat hanya ketamakan: apa aku dapat sekarang; apa jadi esok bukan tanggungjawab aku.

Oleh itu terima sahajalah sogokan. Hak mengundi diberikan bertujuan agar kerajaan yang terbaik dipilih.

Jual undi mengundang penyangak dan penyamun menjadi kerajaan.

Ringankah jenayah rasuah?


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah anggota parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri Malaysia. Pandangan ini asalnya diterbitkan di blog Mahathir dengan judul Rasuah II.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS