Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Pengarah penguat kuasa MBSA pula ditahan SPRM
Diterbitkan:  Aug 14, 2020 4:06 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Seorang lagi kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan ekoran dakwaan ada pihak berkuasa melindungi kegiatan haram di Sungai Buloh.

Kali ini pengarah bahagian penguat kuasa pihak berkuasa tempatan berkenaan.

BH Online melaporkan individu yang diberkas untuk membantu siasatan mengenai kegiatan judi tanpa lesen dan penjualan rokok seludup itu ialah pengarah bahagian di MBSA.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan penahanan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Pengarah terbabit dilaporkan ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 10 pagi tadi.

Penahanan pengarah itu menjadikan jumlah kakitangan MBSA yang diberkas untuk membantu siasatan setakat ini seramai sembilan orang.

Tangkapan itu dibuat kerana SPRM menyiasat kemungkinan ada anggota penguat kuasa memberikan perlindungan kepada kegiatan haram di kawasan Sungai Buloh.

Isu perniagaan haram di Sungai Buloh menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang disiarkan secara langsung oleh Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut.

Difahamkan pegawai itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk membolehkan SPRM menahan reman dia mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Lihat Komen
ADS