Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melihat peluang BN, Warisan di 13 kerusi baru DUN Sabah

Pilihan raya negeri (PRN) di Sabah akan datang bakal menyaksikan pertandingan untuk 13 kerusi dewan undangan negeri (DUN) baru.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan untuk DUN Sabah yang akan menjadi rebutan ialah 73 berbanding 60 sebelum ini.

Situasi ini dilihat memberikan peluang baru untuk pesaing utama PRN kali ini iaitu BN dan Warisan.

Oleh kerana 13 DUN baru itu hampir kesemuanya dipecahkan dari DUN sedia ada, kita boleh mengimbas tahap sokongan untuk BN atau Warisan berdasarkan data daerah mengundi 2018.

Mari kita lihat bagaimana 13 kerusi ini diwujudkan.

Sempadan pilihan raya baru dibuat pada Ogos 2016 dan diserahkan kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, pada 21 Feb 2017, namun hanya dibentangkan di Parlimen pada Julai 2019 semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Untuk "mewujudkan" kerusi baru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selalunya hanya memindahkan daerah mengundi di kawasan sedia ada menjadi kawasan baru.

Data daerah mengundi untuk setiap pilihan raya direkodkan oleh SPR dan dijual kepada orang ramai.

Oleh itu, bagi seseorang penganalisis pilihan raya, kerusi "baru" masih akan mempunyai data mengenai kecenderungan pengundi "baru", dengan menganggap tiada perubahan besar pada daftar pengundi di daerah mengundi yang terlibat.

Bagaimanapun, analisis seperti itu tidak memenuhi syarat sebagai ramalan logik kerana mempunyai banyak kekurangan. Sebagai contoh, ia dibuat dengan tanggapan bahawa kebanyakan pengundi cenderung mempunyai kesetiaan kuat kepada parti.

Namun, sejarah Sabah menunjukkan bahawa warganya lebih berpolitik secara dinamik berbanding pengundi di Semenanjung dan mereka tidak teragak-agak untuk menukar kerajaan negeri apabila dirasakan perlu.

Analisis ini juga tidak mempertimbangkan perubahan landskap politik, khususnya hakikat bahawa BN hanya tinggal tiga parti di Sabah, menurun daripada tujuh pada 2018.

Walaupun begitu, data pengundian yang lalu akan memberikan titik tolak yang kuat bagi para pesaing dan pakar untuk menilai siapa yang akan menang dalam PRN Sabah untuk 13 kerusi berkenaan.

BN lebih kuat di tujuh kerusi

Terdapat 13 kerusi DUN baru yang masing-masing diletakkan di bawah 13 kawasan parlimen yang berbeza, tersebar secara merata di seluruh negeri (lihat peta di atas).

Berdasarkan data daerah mengundi, pengundi untuk 13 kerusi baru itu kebanyakannya memilih BN atau Warisan semasa pilihan raya 2018. Oleh itu analisis ini hanya akan mempertimbangkan prestasi dua parti terbabit.

Data menunjukkan BN mempunyai kelebihan yang jelas berbanding Warisan di tiga kerusi baru iaitu di Pantai Dalit, Sungai Manila dan Lamag apabila gabungan itu memenangi lebih daripada 50 peratus undi di daerah mengundi masing-masing.

BN juga mempunyai prestasi yang lebih baik di daerah mengundi yang kini membentuk Bandau, Pintasan, Tulid dan Telupid. Namun prestasi BN itu tidak melepasi ambang 50 peratus di situ.

Kerumitan di sebalik hubungan BN dengan rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) akan dapat dilihat dengan teliti semasa rundingan kerusi kerana beberapa kerusi baru (Bandau dan Telupid) disukai oleh bekas parti gabungan BN.

Dalam kes Bandau, hasil 2018 dari semua daerah mengundi untuk kerusi baru ini menunjukkan bahawa tahap sokongan BN adalah 44 peratus.

Namun, setelah diteliti, kerusi Bandau terbentuk dari Matunggong dan Tandek. Kedua-duanya dimenangi oleh rakan gabungan BN ketika itu, Parti Bersatu Sabah (PBS).

Walaupun PBS adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan PN, kesetiaan mereka di Sabah tidak dapat dipastikan kerana parti itu telah mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan logo sendiri semasa PRN ini dan sedang membuat pertimbangan untuk bertanding di 30 kerusi.

Sebilangan kerusi di atas hampir pasti akan diserahkan kepada parti utama BN - Umno - seperti yang dapat dilihat pada trend pengundian masa lalu.

Dalam kes Lamag, DUN yang terbentuk daripada kawasan mengundi Kuamut yang berdekatan, daerah-daerah mengundi menjadi kubu kuat Umno.

Data menunjukkan bahawa daripada kesemua daerah mengundi yang dipindahkan ke Lamag, 59 peratus pengundi menyokong calon BN pada pilihan raya terakhir.

Ketua BN dan Umno Sabah Bung Moktar Radin mengumumkan dia akan bertanding di Lamag.

Kali terakhir Bung Moktar mencuba nasib di Kuamut ialah pada 1994 namun dia tidak berjaya. Kerusi itu adalah sebahagian daripada kawasan Parlimen Kinabatangan yang diwakilinya sejak 1999.

Sementara itu, data pengundian menunjukkan bahawa Warisan harus tampil dengan baik di kerusi baru Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Segama dan Kukusan kerana sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi di daerah mengundi masing-masing telah menyokong parti itu pada 2018.

Semasa pilihan raya umum (PRU) 2018, Warisan dan sekutu mereka menunjukkan prestasi yang baik di bahagian Tenggara apabila Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mempunyai pengaruh besar.

Kawasan majoriti Bajau ini menempatkan DUN Segama dan Kukusan yang baru dibentuk.

Mohd Shafie telah menjadi Ahli Parlimen Semporna sejak 1995. Ahli Parlimen enam penggal itu yang juga berasal dari Semporna dan berketurunan Bajau, adalah salah satu tokoh masyarakat yang terkenal di kalangan penduduk Sabah.

Menurut data, Warisan memperoleh sekitar 57 peratus dan 53 peratus undi pada tahun 2018 di daerah mengundi yang masing-masing terdiri daripada Segama dan Kukusan.

Buat parti baru

Sementara itu, Darau, Tanjung Keramat dan Limbahau yang terletak di pantai barat Sabah, dapat dilihat sebagai tempat selamat bagi Warisan kerana agihan undi yang parti itu peroleh rata-rata melebihi 55 peratus.

Pada 2018, Warisan memperoleh 58 peratus undi di daerah mengundi yang kini membentuk Limbahau. Limbahau terbentuk daripada Kawang dan Pantai Manis, di mana daerah mengundi cenderung ke arah Warisan ketika itu.

Terdapat satu kerusi baru - Bengkoka - yang tidak dapat ditentukan kecenderungannya hanya berdasarkan data pengundian yang menunjukkan bahawa BN dan Warisan mempunyai kekuatan yang sama - masing-masing memenangi 40 peratus undi pada pilihan raya dua tahun lalu.

Faktor penentu kemungkinan melibatkan penyokong Lajim Ukim.

Lajim Ukim adalah bekas timbalan menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan juga Ahli Parlimen Beaufort daripada Umno. Dia kemudian keluar dari BN dan bergabung dengan PKR pada 2012, dan menerajui PKR di Sabah.

Namun, dia keluar dari PKR empat tahun selepas itu dan membentuk Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Sementara itu, Bengkoka terbentuk dari kerusi Banggi dan Pitas yang sedia ada. Parti Lajim telah memperoleh lebih 20 peratus undi di Pitas.

PHRS sejak itu telah dibubarkan dan anggotanya bergabung dengan Bersatu. Sekiranya penyokong Lajim menyokong BN - yang juga sekutu Bersatu - dalam pilihan raya akan datang, maka BN akan mendapat peluang yang baik untuk menang di Bengkoka.

Memandangkan 13 kerusi tambahan ini sebagian besarnya dibentuk daripada kerusi sedia ada, sekilas pandang pada data pengundian menunjukkan bahawa beberapa ahli politik mapan akan menghadapi cabaran besar pada PRN ini.

Contohnya, kawasan Sungai Manila yang baru mungkin akan menyukarkan penyandang kerusi Adun Sungai Sibuga, Musa Aman, untuk mengekalkan kerusinya.

Ini kerana lima dari daerah mengundi yang terdiri dari 37 peratus undi yang memihak kepada Musa telah dipindahkan ke Sungai Manila, sementara dua daerah mengundi yang agak besar yang kebanyakannya memilih Warisan tetap di Sungai Sibuga.

Musa telah menjadi wakil rakyat Sungai Sibuga sejak 1994.

Komposisi kerusi Kukusan - terdiri dari daerah mengundi dari Tanjong Batu, Merotai dan Sebatik - juga akan menyukarkan BN untuk mengekalkan kerusi Tanjong Batu, kerana banyak penyokong mereka telah beralih ke kawasan baru.

Sebagai penutup, artikel ini menunjukkan bahawa walaupun Sabah memiliki 13 kerusi "baru" ada kemungkinan untuk menganggarkan tahap sokongan untuk BN dan Warisan berdasarkan data pengundian yang lalu yang dapat digunakan oleh para pesaing sebagai titik awal untuk merancang kempen mereka.

Namun, data itu tidak dapat digunakan sebagai ramalan untuk keputusan PRN.

Pada masa sama ada kemungkinan PRN tidak dapat diadakan jika mahkamah memutuskan - pada Isnin ini - untuk berpihak kepada tuntutan Musa, yang antara lain memohon injunksi yang akan menghalang ia diadakan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS