Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KBS laksana program kenegaraan, jatidiri selaras penurunan had umur mengundi

PARLIMEN l Kementerian Belian dan Sukan (KBS) telah merancang program penerapan elemen kenegaraan dan jatidiri serta patriotisme selaras dengan penurunan had umur kelayakan mengundi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad, berkata mereka juga memberi fokus kesedaran tanggungjawab individu dalam memelihara dan meraikan demokrasi.

Wan Ahmad Fahysal berkata penurunan had umur mengundi ini adalah satu usaha yang diusahakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) bersamanya dulu.

"Susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2019untuk menurunkan had umur kelayakan mengundi dan bertanding daripada 21 kepada 18 tahun sesuatu Yang Berhormat Muar usahakan bersama-sama saya dahulu.

"Kementerian telah merancang penerapan elemen-elemen kenegaraan dan jati diri, semangat patriotisme, pengetahuan dan kesedaran berkaitan sistem demokrasi dan pilihan raya.

"Kita juga memfokuskan kesedaran tanggungjawab individu dalam memelihara dan meraikan demokrasi," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Terdahulu, Syed Saddiq meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan membentangkan rancangan bagi memberi pemahaman dan pengetahuan perihal demokrasi dan kenegaraan kepada belia yang bakal menjadi pengundi terutamanya pengundi yang akan mencecah umur 18 tahun.

Pada 16 Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan umur minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Dalam undian yang dijalankan, usul itu mendapat sokongan 211 anggota parlimen.

Tiada wakil rakyat yang mengundi untuk menolak, dan tiada juga yang berkecuali.

Ia adalah pindaan pertama perlembagaan sejak pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi

Sebelum diluluskan seramai 59 anggota parlimen mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang tersebut sepanjang tempoh lima jam.

Dalam pada itu Wan Ahmad Fahysal berkata penerapan elemen-elemen tersebut secara khususnya dilaksanakan melalui program - program kenegaraan dan secara amnya melalui program Malaysia Future Leaders School (MFLS).

Kementerian itu juga katanya telah mewujudkan jawatankuasa khas bersama agensi-agensi lain seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Komunikasi bagi menyelaraskan program-program peningkatan kadar literasi politik di kalangan anak muda.

"Pada tahun 2020, Kementerian telah merancang untuk melaksanakan program-program untuk tujuan yang sama serta pendedahan sosialisasi politik di kalangan belia dengan sasaran," katanya.

Lihat Komen
ADS