Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inisiatif berkesan penting untuk perkasa B40, golongan minoriti

Dalam membincangkan hal berkaitan peruntukan sumber untuk masyarakat, kita tidak boleh lupa tentang pentingnya pembahagian yang adil.

Ini memberi titik perhatian kepada pihak kerajaan dalam membantu golongan yang lebih memerlukan iaitu kumpulan golongan isi rumah berpendapatan rendah atau lebih dikenali sebagai (B40) terutamanya daripada segi pemerkasaan mereka.

Terdapat beberapa faktor yang diambil ringan oleh sesetengah pihak yang telah menyebabkan pengedaran sumber yang tidak cekap dan hal ini boleh membawa kepada pembaziran bakat tempatan yang juga merupakan modal insan pada masa depan.

Sebagai contoh, dana yang diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan untuk kumpulan B40 ini tidak digunakan dengan baik.

Satu contoh yang jelas dan menarik perhatian boleh diambil daripada Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 yang telah diterbitkan pada bulan lepas.

Untuk lebih spesifik, penemuan laporan tersebut menunjukkan bahawa program khas bagi kumpulan B40 yang dikenali sebagai Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Khusus (PPKK) tidak diurus dengan baik oleh agensi-agensi yang terlibat.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah maksud PPKK?

PPKK bertujuan untuk memberi latihan jangka pendek dan jangka panjang kepada kumpulan B40 agar para peserta dapat mencari pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan mengurangkan jurang kemiskinan.

Inisiatif ini bermula semasa Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) berlangsung dan diteruskan bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Bagi program ini, Unit Perancang Ekonomi (EPU) merupakan penyelaras utama disertai oleh agensi-agensi penyelaras yang lain seperti Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi-agensi pelaksana.

Setiap agensi mempunyai program mereka yang tersendiri dengan jumlah peruntukan berbeza yang disediakan oleh EPU.

Dari tahun 2016 hingga 2018, kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM258.3 juta untuk agensi-agensi yang terlibat bagi melaksanakan program-program yang telah dirancang oleh mereka.

Namun, terdapat beberapa penemuan tidak memuaskan yang dijumpai oleh juruaudit untuk program ini. Salah satunya adalah hanya 54.4 peratus daripada jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan, akibat daripada pengurusan kewangan yang lemah.

kadar penyertaan rendah

Selain itu, hanya 11 daripada 22 latihan atau program dengan kos berjumlah RM97.3 juta telah dilaksanakan selaras dengan objektif PPKK.

Akibatnya, kadar penyertaan bagi program ini adalah rendah iaitu pada 38.5 peratus daripada sasaran seramai 100,000 peserta.

Kelulusan dan pengagihan dana yang perlahan daripada pihak yang bertanggungjawab juga merupakan faktor yang menyumbang kepada kelewatan dalam pelaksanaan program yang menjejaskan keberkesanan program.

Bagi program yang diberi kebenaran untuk dijalankan, penyediaan dokumen yang tidak lengkap oleh beberapa agensi tidak membantu dalam mengesan sama ada program tersebut berkesan untuk kumpulan B40 atau sebaliknya.

Satu lagi kecacatan yang dikesan dalam pelaksanaan program PPKK ini adalah kekurangan perhatian terhadap kegunaan tracer study.

Tracer study merangkumi pengumpulan data peserta yang melibatkan pekerjaan semasa mereka dan gaji yang diperolehi.

Berdasarkan penemuan juruaudit, hanya 16 daripada 28 penyedia perkhidmatan yang telah dilantik oleh agensi pelaksana (57.1 peratus) yang menyediakan laporan tracer study.

Berdasarkan laporan tracer study, hanya 1,076 daripada 7,188 peserta (15 peratus) berjaya mendapatkan pekerjaan. Namun, data ini tidak dapat disahkan kerana dokumen yang diberikan kepada juruaudit tidak lengkap.

Akhir sekali, ketiadaan pemantauan yang berkesan telah membawa kepada kelemahan dalam pengurusan peruntukan yang seterusnya menjejaskan objektif program.

Ini hanya satu contoh daripada pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk memperkasa rakyat dalam yang kumpulan B40 tetapi program tersebut tidak diuruskan dengan baik dan penemuan seperti ini sangat mengecewakan.

Jadi, apakah alternatif lain yang boleh diambil kira untuk memperkasa kumpulan ini?

Pertama sekali, disebabkan oleh krisis yang belum pernah terjadi sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM295 bilion secara keseluruhannya.

Daripada jumlah tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak langkah rangsangan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik ini kerana kebanyakan daripada mereka telah terjejas dari segi kewangan dan ada juga segolongan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan perkerjaan.

Langkah rangsangan merangkumi Bantuan Prihatin Nasional, Program Subsidi Upah, rebat elektrik, insentif pengambilan pekerja dan latihan, program latihan semula dan peningkatan kemahiran, subsidi pengangkutan awam My30, dan kredit e-Penjana.

Merujuk kembali kepada program yang dirancang khusus untuk B40, mudah-mudahan insentif pengambilan pekerja dan latihan, program latihan semula dan peningkatan kemahiran di bawah pakej Penjana akan dilaksanakan dengan baik dan berkesan bagi kumpulan sasaran dengan pemantauan yang berterusan.

Masa tepat untuk TVET

Kedua, sekarang adalah masa yang tepat untuk kerajaan menjadi lebih proaktif dalam mempromosi dan membangunkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di kalangan kumpulan B40.

TVET merupakan platform pembelajaran formal dan bukan formal disediakan untuk mempersiapkan golongan belia sebelum mereka menempuh alam pekerjaan.

Seperti yang ditulis dalam artikel saya sebelum ini tentang pengangguran dalam kalangan belia, kajian lepas menunjukkan bahawa latihan vokasional yang berkesan dapat membantu menurunkan kadar pengangguran belia.

Namun, inisiatif TVET ini bukan sahaja perlu disasarkan kepada kumpulan majoriti di Malaysia malah kumpulan minoriti seperti orang asli.

Seperti yang dikatakan oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan baru-baru ini, kementeriannya menyasarkan penyertaan seramai 2,000 belia orang asli untuk program Go TVET pada tahun depan.

Dia juga menyatakan bahawa seramai 46 belia orang asli sedang mengikuti pelbagai kursus di Institut Latihan Perindustrian di Ipoh yang mengambil masa selama 24 hingga 27 bulan.

Realitinya, perjalanan untuk mencapai sasaran seramai 2,000 peserta masih panjang. Oleh itu, usaha untuk mengalu-alukan lebih ramai peserta untuk menyertai program ini haruslah berterusan.

Secara konklusinya, inisiatif yang boleh disarankan bagi memperkasa kumpulan B40 tidak akan pernah habis tetapi semuanya berbalik kepada cara pelaksanaan yang berkesan.


SOFEA AZAHAR merupakan penganalisis penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS