Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘MP Baling, keluarga adalah pemegang saham, pengarah 4 syarikat’

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya adalah pemegang saham dan pengarah empat syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes rasuah yang melibatkan beberapa projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Saksi pendakwaan kedua, penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah memberi keterangan demikian pada hari pertama perbicaraan rasuah Abdul Azeez dan abangnya Abdul Latif.

Akmaludin berkata bahawa dia mendedahkan perkara ini kepada SPRM ketika agensi anti-rasuah itu meminta maklumat mengenai keempat-empat syarikat berkenaan dari SSM pada 10 Ogos 2018.

Syarikat yang dimaksudkan adalah Menuju Asas Sdn Bhd, Azman Azeez Properties (M) Sdn Bhd, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd dan Azeera Properties (M) Sdn Bhd.

Semasa membaca keterangan saksi, Akmaludin berkata carian maklumat SPRM di SSM mendapati bahawa Azeez dan isterinya Khadijah Mohd Noor adalah pemegang saham dalam keempat-empat syarikat itu.

Katanya, carian maklumat juga menunjukkan bahawa anak-anak mereka - Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa dan Khaleeda Azeera - memegang jawatan sebagai pengarah dalam keempat-empat syarikat itu.

Namun, tidak jelas sama ada pasangan itu dan keempat-empat anak mereka memiliki saham dan memegang jawatan pengarah secara serentak di keempat-empat syarikat tersebut.

"Merujuk surat (SPRM kepada SSM) bertarikh 10 Ogos 2018, ia adalah surat untuk mendapatkan maklumat mengenai syarikat berikut.

"Antaranya adalah Menuju Asas Sdn Bhd, Azman Azeez Properties (M) Sdn Bhd, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd dan Azeera Properties (M) Sdn Bhd.

“Saya telah memeriksa syarikat-syarikat itu," kata Akmaludin ketika memberi keterangan di hadapan hakim Azura Alwi.

Saksi itu berkata, bahawa maklumat tersebut telah dikongsi dengan SPRM pada 13 Ogos 2018, untuk membantu siasatan pada tahun tersebut.

Saksi lain yang memberi keterangan semasa prosiding hari ini adalah ketua unit undang-undang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) Adawiah Sahmad @ Abdul Samad dan pengurus penjualan peniaga kereta Zagma Sdn Bhd, Yap Boon Seong.

Setelah ketiga-tiga saksi pendakwaan selesai memberi keterangan mereka, Azura kemudian menangguhkan perbicaraan kepada 7 September.

Pendakwaan dijalankan oleh TPP Nik Haslinie Hashim dan Aimi Syazwani Sarmin sementara Abdul Azeez diwakili peguam bela M Athimulan dan Hisyam Teh Poh Teik.

Jahaberdeen Mohamed Yunoos pula bertindak sebagai peguam bela utama untuk Abdul Latif.

Pada 16 Januari tahun lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga pertuduhan rasuah menerima RM5.2 juta yang melibatkan beberapa projek jalan raya di Perak dan Kedah dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM140 juta.

Pada hari sama, Abdul Latif didakwa dengan dua pertuduhan didakwa bersubahat dengan Abdul Azeez untuk melakukan kesalahan tersebut.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di Kuala Lumpur pada 8 Dis, 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun, 2017 dan 10 April, 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac, 2010 dan 30 Ogos, 2018.

Pertuduhan rasuah itu adalah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, manakala pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Abangnya Abdul Latif, 62, dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez, yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah untuk membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 7 Sept depan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS