Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan peguam Siti Kasim daripada tuduhan menghalang tugas penjawat awam dalam serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada satu acara transgender pada 2016.

Majistret Tawfiq Affandy Chin pagi ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap aktivis itu, atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim.

Pada 23 Jun 2017, Siti mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan 'menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Serbuan tersebut dilakukan pada satu acara transgender pada April 2016 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur di mana Siti Kasim hadir sebagai tetamu.

Keputusan hari ini dibuat selepas pendakwaan mengakhiri kes pendakwaan susulan perbicaraan yang menyaksikan enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Saksi pendakwaan keempat, iaitu pegawai penguatkuasa Jawi, Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, merupakan pegawai yang didakwa dihalang daripada melakukan tugas semasa serbuan berkenaan yang dilakukan pada 2016.

Semasa prosiding mahkamah hari ini, Tawfiq memutuskan bahawa tuduhan terhadap Siti adalah cacat kerana ia tidak secara khusus menyatakan bagaimana tertuduh didakwa menghalang Siti Nor Jihan daripada menjalankan tugasnya.

Majistret berkata pertuduhan itu juga tidak menyatakan dengan jelas bagaimana tindakan Siti merupakan suatu kesalahan.

“Tuduhan itu tidak menyatakan secara spesifik bentuk (halangan yang dilakukan tertuduh semasa kejadian itu).

"Walaupun DPP memiliki kuasa untuk (memohon) meminda pertuduhan tersebut, tetapi belum ada tindakan seperti itu (memohon untuk pinda pertuduhan).

"Mahkamah berpendapat bahawa tuduhan itu cacat dan tidak diperbetulkan pada tahap ini," kata Tawfiz ketika Siti berdiri di kandang tertuduh.

Majistret menyatakan serbuan itu sendiri tidak wajar dari segi prosedur kerana memerlukan waran, terutama apabila majlis makan malam itu merupakan acara persendirian.

Tawfiq juga menyatakan bukti video semasa perbicaraan menunjukkan tindakan Siti semasa serbuan itu sesuai dengan tindakannya sebagai peguam yang menjalankan tugasnya untuk menasihati anak guamnya.

"Dari rakaman video (serbuan 2016), tindakan tertuduh lebih kepada peguam yang menjalankan tugasnya terhadap anak guamnya mengenai isu undang-undang yang dipertikaikan mengenai waran tangkap (didakwa tidak ditunjukkan semasa serbuan).

"Oleh kerana tertuduh adalah seorang peguam semasa kejadian, pegawai (Jawi) seharusnya menjalankan tugas mereka dengan lebih "hemah'.

"Mahkamah juga mendapati bahawa dalam operasi (pada 2016 itu), SP4 (Saksi Pendakwaan Keempat Siti Nor Jihan) dan pegawai Jawi yang lain berjaya menyita barang (di lokasi) tanpa halangan dari tertuduh.

"Video menunjukkan bahawa (pegawai) Jawi memasuki dewan makan malam dengan mudah," kata Tawfiq.

Ketika ditemui selepas prosiding hari ini, DPP Nur Ashikin Mokhtar berkata dia akan berbincang dengan pihak pendakwaan mengenai sama ada akan memfailkan rayuan atas keputusan tersebut atau sebaliknya.

Nur Ashikin berkata, pihak pendakwaan mempunyai 14 hari daripada tarikh hari ini untuk mengemukakan sebarang Notis Rayuan.

Siti diwakili peguam bela Rajsurian Pillai dan Suzana Norlihan Alias.

Peguam Arik Zakri Abdul Kadir dan Tay Kit Hoo masing-masing sebagai peguam pemerhati bagi Jawi dan Badan Peguam Malaysia.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Siti, aktivis itu mengatakan keputusan hari ini menunjukkan dia hanya menjalankan tugas sebagai peguam kepada anak guamnya semasa serbuan itu.

Peguam itu juga berharap keputusan hari ini akan menjadi pengajaran kepada pihak berkuasa untuk mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam tuduhan penyalahgunaan kuasa.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS