Hasrat pekerja Ladang Windsor, Taiping menyerahkan memorandum kepada pemilik ladang, Malakoff Corporation Bhd tidak kesampaian apabila tindakan mereka dihalang oleh sekumpulan anggota polis hari ini.
Diketuai Parti Sosialis Malaysia (PSM), pekerja ladang berjumlah 25 orang itu pada mulanya cuba menyerahkan memorandum kepada syarikat berkenaan di Plaza Sentral, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi tadi.
Mereka ingin menyampaikan memorandum tersebut bagi membantah pemotongan bekalan air dan elektrik di rumah tiga keluarga di ladang berkenaan.
Bagaimanapun keadaan bertukar menjadi kecoh apabila pihak polis memberitahu pekerja terbabit bahawa syarikat berkenaan tidak bersedia menerima memorandum itu.
Kira-kira 50 anggota polis beruniform dan tidak beruniform dilihat berada di lokasi berkenaan.

Bekas ahli parlimen Sungai Siput Dr Micheal Jayakumar yang turut hadir kemudian meminta polis membenarkan dua individu menyerahkan memorandum mereka.
Bagaimanapun kekecohan sekali lagi berlaku apabila Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan cuba meluru ke arah lif, sebelum dihalang dan ditarik keluar oleh pihak polis.
Situasi kembali tenang apabila timbalan presiden PSM, S Arutchelvan bersetuju untuk bersurai tanpa dapat menyerahkan memorandum bereknaan.
"Tindakan polis menghentikan rakyat yang hanya nak menyerahkan memorandum.
"Mereka (syarikat swasta) sangat berkuasa. Syarikat ini sangat kaya. Tetapi, tidak mampu memberi bekalan air dan elektrik kepada tiga rumah," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Arutchelvan, isu berkenaan juga telah dibawa kepada Kementerian Sumber Manusia dan menteri mempunyai kuasa untuk mengarahkan ladang berkenaan menyambung semula bekalan air dan elektrik kepada tiga rumah berkenaan.
"Kerajaan tidak boleh 'cuci tangan' kata ini tanah swasta. Kepentingan rakyat mesti dijaga oleh kerajaan. Kalau syarikat bertindak kurang ajar, kerajaan perlu memberi amaran kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Isu Ladang Windsor melibatkan 25 pekerja bermula sejak tahun 2018 apabila mendakwa mereka diusir secara paksa dan diarah mengosongkan rumah mereka sebelum penghujung 2019.
Sebaiknya, mereka menuntut Skim Perumahan Masyarakat Ladang, seperti mana diusahakan ladang-ladang lain.
Jawatankuasa Pekerja Ladang Windsor mengemukakan surat permohonan skim perumahan pada 31 Disember 2019 kepada syarikat Tradewinds Plantech Sdn Bhd yang menguruskan Ladang Windsor bagi pihak Malakoff Corporation Berhad.
Dalam surat tersebut, para pekerja menyatakan hasrat mereka untuk berbincang dengan pihak syarikat mengenai tuntutan mereka, dan tidak harus berlaku pengusiran paksa sehingga wujudnya penyelesaian untuk tuntutan skim perumahan berkenaan.
Bagaimanapun pada 19 Ogos lalu, pihak pengurusan bertindak memotong air dan elektrik tiga rumah tersebut yang enggan berpindah.
Berikutan itu, pekerja berkenaan membuat keputusan untuk mengadakan protes dan menyerahkan memorandum hari ini.
