Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cukup besar diskaun kompaun Khairuddin'
Diterbitkan:  Aug 22, 2020 5:57 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan berkenaan kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap Khairuddin Aman Razali kerana melanggar peraturan berkaitan Covid-19, ahli-ahli politik tidak menunggu lama untuk memberikan ulasan, terutama daripada pemimpin pembangkang

Khairuddin yang juga Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi sebelum ini menjadi sasaran kritikan kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki pada 7 Julai.

Bagaimanapun, kritikan kini tertumpu kepada jumlah kompaun yang dikenakan terhadap ahli parlimen Kuala Nerus itu.

Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyindir amaun kompaun yang dikenakan terhadap Khairuddin itu sebagai satu “kod diskaun yang cukup besar”.

“Kod diskaun yang cukup besar sekali #AkuMenteri,” ciap pemimpin DAP itu di Twitter.

Yeoh turut mengulang ciap ciapan pengguna Twitter yang membandingkan kompaun tersebut dengan yang dikenakan terhadap orang awam - ada yang mencecah lebih RM8,000.

Seorang lagi pemimpin DAP, Wong Shu Qi berkongsi imej grafik yang seakan-akan baucar beli-belah dalam talian yang tertera perkataan "hanya untuk menteri".

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam ciapannya, yang turut menggunakan tanda pagar #AntaraDuaDarjat turut mempersoalkan perkara sama dengan membandingkan denda yang dikenakan kepada orang awam.

“Makcik yang langgar kuarantin dipenjara sehari dan didenda RM8,000. Menteri yang langgar kuarantin bebas ke sana ke sini dan hanya didenda RM1,000.

“Tahniah Kerajaan PN prihatin rakyat #AntaraDuaDarjat,” ciapnya.

“Makcik” dalam ciapan Fahmi dipercayai merujuk seorang wanita warga emas yang dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.

Seorang pemilik restoran di Kedah pula dihukum penjara lima bulan serta denda RM12,000 kerana kesalahan sama. Lelaki terbabit adalah kes yang mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga.

KKM dalam kenyataan hari ini memberitahu Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000, setelah didapati bersalah menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Kompaun itu dikatakan dikenakan pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, merujuk kompaun berkenaan, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago mempersoalkan sama ada ahli keluarga Khairuddin yang dikatakan menyertai lawatan ke Turki itu turut dikenakan kompaun atau tidak.

“Macam mana dengan ahli keluarga? Adakah mereka turut didenda?” ciapnya di Twitter.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil turut mengulas perbezaan hukuman antara rakyat dan menteri di Facebooknya.

“Menteri dikompaun, marhaen dipenjara. Begitu adil kerajaan Melayu-Islam,” katanya.

Menteri Dikompaun, Marhaen dipenjara. Begitu adil kerajaan Melayu-Islam.

Posted by Faiz Fadzil on Saturday, 22 August 2020

Digesa letak jawatan

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang lebih dikenali sebagai Papagomo, berkata dia menerima permohonan maaf Khairuddin, tetapi baginya, AJK PAS Pusat itu tetap perlu meletakkan jawatan sebagai menteri.

“Saya terima permohonan maaf YB menteri dan dengan ini saya minta YB menteri meletakkan jawatan bagi memberikan tauladan yang baik kepada masyarakat.‬

“‪Kepimpinan melalui tauladan, jika bukan YB menteri siapa lagi yang nak dijadikan contoh kepada masyarakat?” soalnya.

 

Pendakwah bebas Dr Rozaimi Ramle pula menyifatkan permohonan maaf itu menunjukkan Khairuddin mengakui kesalahannya, bertentangan dengan dakwaan akhbar lidah PAS Harakah sebelum ini yang mendakwa isu itu timbul kerana rasa iri hati pemimpin DAP terhadap menteri PAS.

“Cuma saya nak ingatkan menteri, selain dari memohon maaf, bertaubatlah kerana saya terbaca satu artikel di Harakahdaily menyebutkan bahawa tidak kuarantin itu berdosa kerana tidak patuh arahan ulil amri. Tapi saya tidak pasti artikel itu masih ada di laman web atau pun sudah di delete (Eror404).

“Kepada penulis yang membela kesalahan menteri dan menuduh orang lain, ingatlah ketaksuban kepada manusia membinasakan. Mohon maaflah kepada insan yang anda tuduh secara rambang tanpa bukti,” katanya.

Di akhir hantarannya, dia tidak ketinggalan memetik hantaran daripada Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa tidak harus wujudnya layanan dua darjat dalam sesuatu hukuman yang dijatuhkan.

 

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok merupakan individu yang mula-mula membangkitkan pelanggaran kuarantin Khairuddin di Parlimen pada 18 Ogos, mendakwanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selepas melakukan lawatan ke luar negara.

Dedah Kok, anggota Parlimen Kuala Nerus itu telah menghadiri lebih 12 program dan mesyuarat sejurus pulang dari Turki.

Kok kemudiannya turut mendakwa dia difahamkan lawatan Khairuddin ke Turki sebenarnya diiringi oleh ahli keluarga dan anggota agensi kerajaan.

Susulan itu, nama Khairuddin mula menjadi perhatian di medial sosial dengan ramai yang mempersoalkan apa yang didakwa sebagai layanan berbeza dengan orang biasa yang dikenakan tindakan selepas melanggar SOP.

Dihujani kritikan, Khairuddin pada awalnya meminta pihak yang bertanya berhubung hal itu agar menunggu kenyataan KKM, sebelum kemudian tampil mempertahankan diri dengan berkata kebenaran yang diberikan untuknya memasuki Istana Negara pada 17 Ogos lalu merupakan bukti dia negatif Covid-19.

Bagaimanapun, dalam maklum balas tersebut, dia tidak ada membangkitkan soal kompaun yang sudah dikenakan terhadapnya sejak 7 Ogos itu.

Sementara para pengkritik terus mempersoalkan alasan beliau tidak menjalani kuarantin kendiri seperti ditetapkan kepada mana-mana individu yang pulang dari luar negara.

Dalam perkembangan terbaru hari ini, tidak lama selepas kenyataan KKM, Khairuddin tampil membuat permohonan maaf, dan berikrar memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri.

Khairuddin berkata empat bulan gajinya itu akan didermakan kepada tabung Covid-19 di bawah KKM.

Lihat Komen
ADS