GMM mahu UPM henti tindas mahasiswa
Gerakan Mahasiswa Maju Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa pentadbir universiti berkenaan menghentikan perbuatan menindas mahasiswa selari dengan hasrat kerajaan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
" Pentabir UPM perlu mengembalikan kebebasan menjalankan aktiviti kepada mahasiswa. Baru-baru ini Kementerian Pangajian Tinggi mahu meminda Auku agar mahasiswa mempunyai lebih kebebasan bersuara dan berpersatuan."
"Malangnya kebelakangan ini berlaku banyak kes penindasan aktiviti mahasiswa yang tidak mnunasabah di kebanyakan IPTA," kata penyelaras GMM UPM, Ooi Tze Min.
Beliau memberi contoh kejadian terbaru di UPM pada minggu orentasi pelajar baru pada minggu lalu.
Menurut Ooi ahli-ahli GMM yang membuka kaunter untuk membantu para pelajar baru pada 11 Julai lalu telah diganggu dan dikasari oleh pengawal keselamatan universiti tersebut.
Katanya, pada kira-kira 8 malam hari berkenaan kaunter GMM di kafe Kolej Ke-12 UPM telah dihalang dan dikasari oleh pengawal keselamatan berkenaan dari menjalankan aktiviti menyambut dan membantu para pelajar baru.
Ahli-ahli GMM juga diganggu oleh sekumpulan ahli jawatankuasa kolej yang mengepung dan menghalau mereka dari kafeteria itu.
Ooi berkata, tindakan kasar pengawal keselamatan dan ahli jawatankuasa kolej itu amat dikesali.
" Sepatutnya pegawai keselamatan UPM memberikan perlindungan kepada mahasiswa tetapi mereka bertindak sebaliknya,"ujar beliau.
Katanya lagi, kewajiban pegawai keselamatan ialah melindungi mahasiswa serta tidak menyebelahi mana-mana pihak malangnya pihak universiti menggunakan pegawai keselamatan untuk menindas aktiviti mahasiswa.
"Pegawai keselamatan juga tidak mengambil sebarang tindakan ke atas ahli jawatankuasa kolej yang mengepung ahli-ahli GMM dan kami menganggap tindakan ini tidak profesional, tidak bertanggungjawab serta prejudis," katanya.
Ooi berkata, tindakan tersebut telah mengakibatkan mahasiswa merasa terancam dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Serdang.