mk-logo
Berita
Boleh rundingan terus dalam kes tertentu - Lim
Diterbitkan:  Aug 25, 2020 2:05 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Walaupun mengamalkan tender terbuka, manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak menyebut mereka tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu, kata bekas menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata terdapat pengecualian tender terbuka dibenarkan oleh Kementerian Kewangan berpandukan garis panduan kerajaan.

Antaranya, kata Lim, seperti perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara (tentera dan polis) dan kepakaran khusus (one of a kind)

“Kabinet juga boleh memutuskan untuk melaksanakan rundingan terus, satu perkara yang nampaknya semua menteri-menteri “pengkhianat” sekarang sudah lupa,” katanya.

Di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata terdapat 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran PH.

Pemimpin politik pelbagai parti, termasuk daripada pembangkang, menuntut senarai itu didedahkan.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata kos purata setiap projek rundingan terus di zaman PH adalah RM65.3 juta atau 1.4 peratus berbanding dengan nilai keseluruhan perolehan di bawah PH?

Di era BN, kata Lim, projek rundingan terus oleh kerajaan BN bernilai puluhan bilion ringgit.

Malah, katanya lagi, satu kes rasuah di mahkamah saja sudah bernilai RM1.2 bilion.

Lim turut menyenaraikan 12 projek terpilih daripada pelbagai kementerian yang jumlah keseluruhannya bernilai hampir RM140 juta.

“(Sebanyak) 12 projek rundingan terus BN dalam senarai di atas sahaja sudah mencecah RM139.3 bilion. Itu pun belum lagi senarai penuh.

“Bandingkanlah dengan 101 projek rundingan terus PH sebanyak RM6.6 bilion (kos purata RM65.3 juta setiap projek).

“Nilai projek rundingan terus PN yang diluluskan oleh Zafrul belum tahu lagi,” katanya.

Lim mengakhiri kenyataan medianya dengan menyebut: “Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar.”

Lihat Komen
ADS