Kerajaan tidak bercadang meminda undang-undang fitnah walau tuntutan yang melambung tinggi dalam kes saman di mahkamah sivil negara ini.
"Buat masa ini, kerajaan tidak bercadang untuk meminda undang-undang yang sedia ada untuk menyekat award (bayaran ganti rugi) mahkamah yang tinggi," kata Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar.
"Mahkamah tidak sewenang-wenangnya menetapkan jumlah ganti rugi dalam sesuatu kes fitnah, tetapi jumlah ganti rugi akan ditetapkan dengan mengambil kira semua hal keadaan dalam sesuatu kes itu."
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pagi ini ketika menjawab soalan lisan Lee Kah Choon (BN-Jelutong). Dalam soalan itu, Lee meminta Perdana Menteri menjelaskan sama ada kerajaan bercadang meminda undang-undang untuk menyekat 'award' mahkamah yang tinggi dalam kes-kes fitnah.
Bagaimanapun Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim berkata pindaan undang-undang diperlukan bagi mengawal jumlah ganti rugi yang diberikan mahkamah agar mencerminkan keadilan.
Rais juga berkata saman malu yang beratus-ratus juta ringgit melahirkan keadaan "tidak munasabah," misalnya seseorang yang cedera akibat kemalangan menerima ganti rugi yang jauh lebih rendah berbanding seseorang yang difitnah.
Menurut Noh, bagi menentukan jumlah ganti rugi, mahkamah berhak menimbangkan beberapa faktor seperti kelakuan plaintif, taraf dan status plaintif, sifat kata-kata fitnah itu, cara dan takat fitnah itu disiarkan, keengganan defenden menarik balik kata-kata fitnah itu atau meminta maaf serta kelakuan defenden secara keseluruhannya.
"Jumlah ganti rugi yang tinggi yang ditetapkan oleh mahkamah di Malaysia adalah perlu dan wajar untuk memelihara reputasi dan nama baik seseorang," kata Noh lagi.
Dalam soalan tambahan, Abdul Rahman Yusof (Kemaman-Keadilan) pula meminta kerajaan mengkaji sama ada kes yang melibatkan seorang peguam bercuti dengan seorang hakim yang sedang mendengar kesnya boleh menjejaskan tuntutan sesuatu kes saman.
(Abdul Rahman dipercayai merujuk percutian Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin dengan VK Lingam di New Zealand pada 1994.)
Bagaimanapun Noh menjelaskan kerajaan tidak akan meminda undang-undang berhubung perkara itu.
Ganti rugi paling tinggi
Noh berkata, rekod ganti rugi yang paling tinggi adalah sebanyak RM10 juta yang melibatkan saman tokoh perniagaan Tan Sri Vincent Tan terhadap majalah perniagaan Malaysian Industry di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1995.
Dalam soalan tambahan seterusnya, Lee meminta kerajaan menyelaraskan jumlah ganti rugi fitnah dan ganti rugi kemalangan jalan raya.
Noh berkata kedua-duanya terletak di bawah akta berlainan.
Beliau menambah, kebiasaannya syarikat insurans akan membayar ganti rugi bagi kes kemalangan dan bagi kes fitnah, defendan perlu membayar ganti rugi tersebut kepada plaintif kerana ia melibatkan hal peribadi .
Di luar Dewan Rakyat tengahari tadi, Noh berkata mahkamah wajar menentukan hukuman sewajarnya supaya fitnah yang semakin menjadi-jadi dalam suasana politik hari ini tidak menjadi budaya.
Kes ganti rugi yang melibatkan jumlah kurang daripada RM20,000 dikendalikan di mahkamah majistret dan tuntutan sehingga RM250,000 dibawa ke mahkamah sesyen. Tuntutan yang lebih besar dikendalikan di mahkamah tinggi.
