Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tidak pakai topi keledar: Saman semua, termasuk Anwar, kata Loke
Diterbitkan:  Aug 26, 2020 1:42 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

PARLIMEN l Bekas menteri pengangkutan, Anthony Loke mahu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman kepada pemimpin yang menunggang motosikal tidak memakai topi keledar.

Ini termasuk kepada semua wakil rakyat pembangkang dan tidak terkecuali adalah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Menunjukkan bukti bergambar di Dewan Rakyat, Loke (PH-Seremban) berkata beberapa pemimpin BN telah dirakamkan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa kempen pilihan raya kecil Slim.

Mereka termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan; Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican; Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, dan calon BN bagi kerusi Slim Mohd Zaidi Aziz.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) kemudian berkata bahawa dia juga ada gambar Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang menunggang tanpa topi keledar, dan ingin mengikut Loke dalam bertemu JPJ.

Pada sebelah petang,  Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berkata dia juga mempunyai bukti bahawa pihak pembangkang, termasuk Anwar melakukan kesalahan yang sama.

"Saman semua, ketua pembangkang pun saman," kata Loke.

Sebelum itu, pada ucapannya, Loke berkata tidak ada masalah untuk menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi pemimpin perlu memakai topi keledar.

“Itu (berkempen sambil naik motor) tak apa, tapi pakai la topi keledar. Tunjukkan contoh yang baik.

“Sebagai mantan PM, boleh kempen, ambil motosikal tak ada masalah, pakai la topi keledar. Saya bimbang Pekan (Najib) jatuh nanti, kemalangan,” kata Loke.

Azeez kemudian mencelah dan mempertahankan Najib, dengan berkata, ia hanya membabitkan perjalanan singkat ke masjid untuk solat Jumaat.

Loke berkata, menunggang motosikal tanpa topi keledar, termasuk di kampung, adalah jelas melanggar undang-undang yang ditetapkan oleh JPJ.

Oleh itu, katanya, ahli politik perlu memberikan contoh baik dengan memakai topi keledar.

Dia berkata, pihaknya akan menyerahkan gambar pemimpin BN yang tidak memakai topi keledar kepada JPJ agar mereka dapat mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya nak bagi tahu bahawa gambar-gambar ini saya akan hantar ke JPJ. Saya sarankan kepada JPJ hantar saman kepada orang orang ini. Jangan bagi muka, kita laksanakan undang-undang secara sama rata.

“Pihak JPJ jangan bimbang ada backup dari PM (Muhyiddin Yassin). PM keluarkan kenyataan semalam, (dia kata) tak ada pilih kasih, semua sama rata. Kalau menteri buat salah pun menteri kena, jadi tunjukkan kita ambil tindakan,” katanya.

Muhyiddin, semalam membuat kenyataan bahawa siasatan lengkap akan dibuat terhadap Menteri Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang melanggar kuarantin kendiri setelah kembali dari Turki bulan lalu.

Ucapan Loke mengenai pentingnya memakai topi keledar dibuat semasa membahaskan rang undang-undang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan.

Antara pindaan utama adalah meningkatkan hukuman ke atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Semasa menyokong rang undang-undang itu, Loke berkata, bahawa memandu dalam keadaan mabuk hanya menyumbang sejumlah kecil kematian di jalan raya.

Sebaliknya katanya, 22,375 kematian akibat kemalangan jalan raya dari 2015 hingga Mei 2020 melibatkan penunggang motosikal.

Ini, katanya, adalah 64 peratus daripada 34,891 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tempoh tersebut.

"Hantar mesej kepada orang ramai, topi keledar penting untuk selamatkan nyawa," katanya.

Lihat Komen
ADS