Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PAS harap akhirnya tiada lagi industri arak di Malaysia

PARLIMEN | Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir MAS) menyuarakan harapan agar industri minuman beralkohol tiada lagi di Malaysia pada satu hari nanti.

"Kita harap industri arak pada akhirnya tidak ada dalam negara kita. Ia mungkin perlu melalui proses pendidikan yang secara beransur-ansur, agar rakyat lihat arak bukan keperluan dalam hidup mereka.

"Rakyat perlu diberi kefahaman yang minuman keras bukan sebahagian daripada norma kehidupan kita," katanya ketika membahaskan rang undang-undang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pindaan itu antara lain untuk meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk.

Fadhli berkata, jika tiada lagi minuman beralkohol, ia akan menyelesaikan isu pemanduan mabuk tanpa perlu memperkenalkan undang-undang keras seperti dalam pindaan itu.

Berhubung langkah sementara pula, dia mencadangkan agar tempat letak kereta di sekitar bar dihadkan.

Ia bagi mengelakkan orang ramai untuk memandu ke sana, sebaliknya menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam atau e-hailing.

Pada tahun lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang kini menteri di jabatan perdana menteri (parlimen dan undang-undang), berkata parti itu tiada hasrat untuk melarang penjualan minuman beralkohol jika mereka menjadi kerajaan persekutuan.

Dia menegaskan bahawa di Kelantan, orang bukan Islam tidak pernah dilarang untuk membeli dan meminumnya.

"Dari segi Islam, arak dibenarkan untuk orang bukan Islam. PAS sebagai parti berteraskan Islam, tidak mempunyai hasrat buat dasar tidak benar arak untuk orang bukan Islam," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS