Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Armada tetap tegas mahu sekolah vernakular dihapuskan
Diterbitkan:  Aug 26, 2020 4:13 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Meskipun Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique, memberi jaminan kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular, Pemuda Bersatu (Armada) tetap mahu ia dihapuskan secara berperingkat.

Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata sayap Bersatu itu menolak secara tuntas kenyataan Halimah yang didakwanya tidak mencerminkan citra nasional bagi menjayakan integrasi kaum di negara ini.

Malah, katanya usaha pemansuhan sekolah vernakular perlu dijadikan agenda utama, dan bukan sekadar digunakan sebagai alat meraih undi.

“Armada kekal dengan pendirian bahawa sekolah vernakular wajar dimansuhkan secara berperingkat.

“Perlu ada usaha untuk memastikan hal ini menjadi keutamaan agenda nasional, dan bukannya digunakan sebagai bahan politik tidak kira di blok kerajaan mahupun pembangkang untuk sekadar meraih undi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut timbalan menteri belia dan sukan itu lagi, sekolah vernakular rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang memperlihatkan jati diri nasional yang kental.

Sebaliknya dakwa anggota Dewan Negara itu, mereka hanya mempamerkan jati diri "etnik tertentu" mengikut aliran persekolahan yang dipisah berdasarkan kaum tertentu.

Dakwanya, berdasarkan pemerhatian termasuk kalangan cendekiawan, ramai lepasan sekolah vernakular hanya memperlihat penguasaan bahasa ibunda masing-masing.

Tak wajar dipisah-pisahkan

Malah dia mendakwa “banyak pandangan” berpendapat penubuhan sekolah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, ketika memberi jaminan sekolah vernakular tidak akan dimansuhkan dalam sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, Halimah berkata usaha memupuk perpaduan negara di kalangan rakyat akan dirintis menerusi kaedah lain.

Ia termasuklah menggiatkan usaha menerapkan penghayatan Rukun Negara bermula di peringkat awal, di sekolah rendah mahupun sekolah menengah, termasuk sekolah jenis Tamil dan sekolah jenis Cina.

Mengulas mengenai Rukun Negara, Wan Ahmad Fayhsal berkata, terasnya ialah keluhuran perlembagaan, justeru tidak harus ada penolakan terhadap Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

“Teras sosialisasi antara utamanya ialah melalui pendidikan, maka secara jelas anak-anak Malaysia tidak wajar dipisah-pisah melainkan berada di bawah satu bumbung.

“Armada tidak menolak rencam masyarakat, malah meraikan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia kerana inilah keunikan dan kekuatan kita. Namun berbeza-beza biarlah satu!

“Maka, di samping mendukung untuk mengasaskan bahasa Mandarin dan juga bahasa Tamil sebagai subjek utama di sekolah kebangsaan di Malaysia, pun begitu perlu jelas bahawa bahasa Melayu adalah tali pengikat perpaduan selaras perlembagaan,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS