Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini membentangkan rang undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), yang menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibawa pentadbiran PH.

Perbandingan antara dua RUU itu menunjukkan kuasa IPCC jauh lebih lemah berbanding IPCMC.

Satu perbezaan utama ialah IPCC tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap anggota polis yang membuat salah laku. Sebaliknya, tindakan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis atau badan lain yang berkaitan.

IPCC juga tiada kuasa untuk menyemak aduan terhadap polis yang tidak mematuhi peraturan atau prosedur operasi standard (SOP), yang tidak memberi justifikasi ketika ia perlu diberikan, dan yang melakukan kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, IPCC memberi tanggungjawab kepada polis untuk melaporkan jenayah seksual terhadap orang dalam tahanan atau jagaan polis, selain kes-kes kecederaan atau kematian dalam tahanan.

Boleh tak jawab soalan

Menurut RUU tersebut, anggota polis dibolehkan untuk tidak menjawab mana-mana soalan ketika siasatan suruhanjaya itu jika ia cenderung mendedahkannya, anggota lain serta pegawai badan awam kepada pertuduhan jenayah.

Anggota polis juga dibenarkan untuk tidak mendedahkan "maklumat sensitif" jika diperakui ketua jabatan bahawa ia boleh memudaratkan keselamatan dan kepentingan negara.


Baca: Bagaimana IPCMC pengaruhi undi polis?


RUU itu juga menghalang IPCC daripada mendapat dokumen atas dasar keselamatan negara, atau jika ia tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

Selain itu, bahagian yang menghalang anggota polis atau bekas anggota daripada menjadi anggota suruhanjaya juga telah dipadamkan. Ini bermakna anggota polis boleh menganggotai IPCC.

Bilangan anggotanya juga dikurangkan daripada sepuluh kepada tujuh orang.

Selain itu, IPCC hanya boleh "berunding" dengan agensi lain berbanding IPCMC yang diberi kuasa untuk bekerjasama dengan agensi lain dalam siasatannya.

NGO hak asasi manusia Suaram dalam kenyataan hari ini berkata mereka "terkejut" dengan IPCC.

"(Dengan pembentangan hari ini) IPCC lebih teruk daripada mekanisme sedia ada di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

"Langkah memperkenalkan suruhanjaya yang akan gagal di saat PDRM bergelut dengan dakwaan salah laku seperti kematian dalam tahanan serta keganasan polis hanya akan lebih menjejaskan kewibawaan pasukan itu," katanya dalam kenyataan.

NGO itu berkata, pasukan polis yang profesional dan bertanggungjawab tidak akan takut dengan sebarang pemantauan daripada sebuah suruhanjaya bebas.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS