Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kemelut Musang King: Syarikat dakwa pekerja diancam, diganggu
Diterbitkan:  Aug 26, 2020 10:09 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Syarikat yang terlibat dalam kemelut dengan pekebun durian Musang King di Raub, Pahang mendakwa pekerjanya berdepan dengan gangguan dan ancaman susulan pelaksanaan skim pemutihan kebun Musang King haram di sana.

Menurut Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP), gangguan bermula pada 12 Ogos lalu apabila pekerjanya yang ingin menghantar kabin pos keselamatan telah dihalang masuk ke kawasan itu oleh kira-kira 30 pekebun.

"Dua hari kemudian, pada 14 Ogos, pembinaan kabin keselamatan RPDR-PKPP yang sedang dijalankan telah disabotaj dan dimusnahkan. Perkara ini telah dilaporkan keada polis.

"Insiden terbaru pada 23 Ogos, apabila ada yang menakut-nakutkan pekerja RPDR-PKPP dengan meletakkan dua bakul durian yang sudah buruk dan disembur cat di premisnya. Laporan polis juga telah dibuat berkenaan insiden ini," dakwa syarikat itu dalam satu kenyataan.

Malaysiakini telah menghubungi pekebun durian Musang King untuk mendapatkan maklum balas mereka.

RPDR-PKPP adalah usahama antara Royal Pahang Durian Resources - anak syarikat Royal Pahang Durian Group yang berkaitan dengan kerabat diraja Pahang - dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri.

Kerajaan Pahang sebelum ini dilaporkan berkata akan bertindak terhadap semua kebun haram di Raub dan ingin melakukan pemutihan dengan memajaknya kepada Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP).

Pekebun pula mendakwa mereka menduduki tanah kerajaan berkaitan sejak 1970-an melalui Rancangan Buku Hijau kerajaan Malaysia.

Mereka mendakwa dipaksa menandatangani kontrak dengan terma yang tidak adil seperti pekebun perlu membayar RM6,000 pada tahun ini bagi seekar tanah yang mengandungi 30 batang pokok durian, serta perlu menjual hasil mereka di bawah harga pasaran kepada syarikat itu.

Mereka juga mendakwa perlu memohon kebenaran untuk memasuki kebun dan dihalang menjual hasil tanaman mereka secara bebas.

Dalam wawancara bersama Malay Mail pada 22 Ogos lalu, RPD menafikan tuduhan menawarkan kontrak bersifat berat sebalah dengan pekebun durian Musang King.

RPD berkata, RPDP-PKPP telah mendapat hak dan pajakan untuk 5,357 ekar tanah di Raub selama 30 tambah 30 tahun, dan mendakwa 30 peratus daripada tanah itu telah diceroboh.

RPDR-PKPP berkata insiden yang berlaku menunjukkan kurangnya hormat terhadap undang-undang dan wujud usaha sistematik untuk menghalang usaha pemutihan yang dijalankan mereka.

"Kami percaya pihak yang melakukannya biasa dengan kawasan di sekitar pejabat kami di Raub," kata syarikat itu lagi, sambil menyuarkan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk menangani perkara itu.

Lihat Komen
ADS