Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kontrak buku lebih RM21 ribu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dipersoal
Diterbitkan:  Aug 26, 2020 11:46 PM
Dikemaskini: 4:15 PM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik Najwan Halimi mempersoalkan pemberian tender rundingan terus kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk buku yang dikatakan boleh dibaca dan diakses secara dalam talian.

Tender berkenaan merupakan salah satu daripada 101 kontrak yang diberikan secara rundingan terus dan didedahkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.

"Buku apa yang harga sampai RM21,022.86? Buku yang dibeli pada harga RM21,022.86 oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi boleh dibaca secara percuma menerusi pautan di bawah," katanya di Twitter sambil mengepilkan pautan http://digital.tudor-rose.co.uk/a-better-world-vol-5/III/.

Kontrak untuk buku A Better World Volume 5: Actions and Commitments to the Sustainable Development Goals adalah antara 101 kontrak kerajaan yang diberikan tanpa tender terbuka oleh pentadbiran Pakatan Harapan.

Ia muncul sebagai item ke-95 dalam senarai kontrak pemberian langsung yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Mohamed Azmin Ali adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada masa itu., dan kini merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Tidak jelas harga yang dinyatakan pada senarai itu merujuk kepada berapa jumlah buku.

Bagaimanapun, edisi digital buku 136 halaman itu tersedia secara percuma melalui laman web Human Settlements Program oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pautan yang dikongsikan Najwan pula adalah buku versi digital yang dimuat naik oleh penerbit buku itu sendiri, Tudor Rose.

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam kenyataan di Facebook menyorot bahawa bekas menteri pengangkutan, Anthony Loke telah menjelaskan sebelum ini pemberian kontrak rundingan terus kepada RMaya, 4,475 bilion kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd untuk projek landasan berkembar Fasa 2 Lembah Klang (KVDT2).

Fahmi turut menyertakan Hansard parlimen bertarikh 9 Julai 2019 berhubung penjelasan Loke.

"Pada 9/7/2019 saya telah tanya YB Anthony Loke Siew Fook kenapa ia tidak diberi secara tender terbuka. Jemput baca rekod Hansard," kata Fahmi.

Pada Hansard itu, Loke menjelaskan bahawa kabinet telah memutuskan untuk menghentikan kontrak era BN pada bulan September 2018, tetapi harus mempertimbangkan semula ketika Dhaya Maju mengemukakan rayuan terhadap kontrak tersebut dan memberi amaran mengenai akibat undang-undang jika kontrak itu ditamatkan.

"Pihak syarikat itu menganggarkan bahawa pampasan yang perlu dibayar oleh pihak kerajaan adalah RM2.5 bilion walaupun itu belum disahkan lagi. Akan tetapi sudah tentu ada implikasi perundangan.

"Kita mengambil semangat bahawa kerajaan terbuka untuk renegotiate dan objektif utama kite ialah mengurangkan kos. Dalam proses rundingan ini, maka kite melihat bahawa syarikat tersebut telah pun memberikan tawaran untuk mengurangkan kos sebanyak 15 peratus iaitu pengurangan ataupun penjimatan lebih RM700 juta," kata Loke yang dipetik pada Hansard itu.

Dia berkata, kabinet kemudian memutuskan untuk memberi syarikat itu peluang kedua untuk meneruskan projek dengan kos yang dikurangkan.

"Kita tahu bahawa ada kelemahan-kelemahan dan juga ada kelewatan dan kita akan mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat dan memantau perjalanan dan operasi syarikat ini supaya mereka dapat menyiapkan projek itu mengikut tempoh yang telah ditetapkan," kata Loke lagi, sebagai respins kepada soalan Fahmi ketika itu.

Hansard turut merekodkan Fahmi ketika itu meminta Loke untuk menjelaskan mengapa projek sebesar itu tidak dipecah menjadi kontrak yang lebih kecil sebagai tender secara terbuka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menyatakan rasa terkejut apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memasukkan projek KVDT2 sebagai antara projek yang diberikan melalui rundingan langsung di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Dia menyatakan bahawa projek KVDT2 sahaja berjumlah dua pertiga daripada jumlah rundingan langsung yang dituduh oleh Zafrul diberikan oleh PH.

"Itu tidak masuk akal kerana kontrak untuk KVDT2 diberikan oleh BN sebelum PH mengambil alih!

"Bukan itu sahaja, BN memberikan kontrak itu dengan harga RM5.265 bilion. Tetapi kami mahu menamatkan kontrak kerana kami percaya bahawa ia terlalu mahal, seperti kontrak biasa BN," katanya di Facebook.

Pua, yang merupakan setiausaha politik Lim ketika menjadi menteri kewangan, juga menyatakan bahawa rundingan PH telah membantu pembayar cukai menjimatkan RM790 juta.

Dia juga membidas Azmin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin kerana mendakwa bahawa kontrak yang dirundingkan tidak pernah diserahkan dalam kabinet.

"Mungkin tidak mengejutkan, mereka mesti tidur di tempat kerja," katanya.

Projek KVDT Fasa 2 (yang diberi secara runding terus kepada Dhaya Maju @ DMIA LTAT pada zaman BN) bernilai RM4.475...

Posted by Fahmi Fadzil on Wednesday, 26 August 2020

 

Lihat Komen
ADS