Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek runding terus KPKT: Di luar pengetahuan saya, kata Zuraida
Diterbitkan:  Aug 27, 2020 11:24 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Zuraida Kamaruddin mendakwa dua projek runding terus di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dibuat di luar pengetahuannya.

Kenyataan itu hadir selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam mendedahkan 101 kontrak kerajaan - bernilai RM6.61 bilion - yang diberikan melalui rundingan terus di bawah PH.

Dua daripadanya didapati turut melibatkan projek di bawah kementerian Zuraida itu.

Menurut anggota parlimen Ampang itu, KPKT akan melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Saya maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan projek rundingan terus sewaktu pentadbiran PH yang turut mengaitkan KPKT menawarkan projek rundingan terus.

“Ingin saya tegaskan dua projek yang diluluskan kepada KPKT sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat di luar pengetahuan saya.

“Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sebelum pertukaran kerajaan pada hujung Feb lalu Zuraida juga merupakan menteri di KPKT.

Dibenarkan dalam keadaan tertentu

Zafrul mendedahkan senarai kesemua 101 projek itu semalam selepas perkara yang dibangkitkannya di Dewan Rakyat pada 24 Ogos itu menimbulkan keributan dalam kalangan perwakilan. 

Sebelum Tengku Zafrul mengeluarkan senarai itu, Zuraida menegaskan yang dia tidak terlibat menawarkan mana-mana projek rundingan terus semasa mengepalai KPTK dalam kerajaan PH.

Bekas naib presiden PKR itu juga berkata tiada masalah jika Zafrul mengeluarkan senarai projek berkenaan.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan Zafrul, KPKT terbabit dalam dua projek rundingan terus bernilai RM170.79 juta.

Kata Zafrul dalam kenyataannya, kontrak secara rundingan terus dibenarkan jika memenuhi salah satu daripada lima syarat, iaitu:

  • Perolehan bekalan dan perkhidmatan metibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara;
  • Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh;
  • Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja,
  • Keselamatan/ strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara, atau;
  • Kontrak dengan syarikat pembuat (manufacturer) bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan.

PH menegaskan daripada keseluruhan kontrak yang dikendalikan sepanjang tempoh 22 bulan menjadi kerajaan, hanya 1.4 peratus saja diberi melalui runding terus, manakala 98.6 peratus lagi secara tender terbuka. 

Tender secara runding terus hanya diberikan dalam kes tertentu terutama membabitkan aspek keselamatan negara dan ketenteraan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil pula mendakwa daripada senarai semua 101 projek dibentangkan Zafrul, hampir 72 peratus - atau lebih RM4.475 bilion daripada RM6.6 bilion yang didakwa itu - diluluskan sebelum BN dikalahkan dalam pilihan raya umum 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS