Kerajaan belum meluluskan bajet RM490 juta untuk membina pusat latihan sukan berprestasi tinggi di London, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan menjelaskan, setakat ini projek itu hanya diluluskan di peringkat konsepnya sahaja.

Sambil melahirkan kehairanannya bagaimana jumlah kos itu boleh timbul Najib berkata; "Kita lulus pada prinsip sahaja, butiran skop, bajet, belum lulus lagi. Jawatankuasa kabinet tak lulus RM490 juta.

"Kita lulus konsepnya sahaja, terpulang kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk membuat satu cadangan bagi pertimbangan kerajaan," katanya kepada pemberita Malaysia di London semasa melawat Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2006 (FIAS 06) di Hampshire, di pinggir ibunegara Britain itu semalam.

Najib menjangkakan projek itu tidak membabitkan perbelanjaan sehingga RM490 juta.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said baru-baru ini mengumumkan bahawa Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan telah meluluskan projek membina pusat latihan sukan di Brickendonbury, 24 km dari tapak cadangan perkampungan Olimpik London 2012.

Menurut laporan Bernama, tapak yang dimiliki Lembaga Getah Malaysia itu terletak di Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC), di Brickendonbury.

Azalina dilaporkan berkata bahawa 24 atlet junior negara kini menjalani latihan di pusat berkenaan bagi menyertai kejohanan di rantau Eropah.

Mereka termasuk 14 pemain skuasy dan 10 pemanah dan pada masa depan kementerian itu bercadang menghantar atlet elit daripada sukan badminton dan bola sepak berlatih di situ.

Cadangan mengubahsuai pusat latihan itu menjadi sebuah komples sukan itu menjadi kontroversi kerana dianggap sebagai projek mewah yang membazirkan wang rakyat.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa menolak cadangan mengubahsuai TARRC menjadi sebuah kompleks sukan.

Sebilangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang telah membantah projek itu dan meminta kerajaan mengkaji semula kos dan keberkesanannya dalam menghasilkan atlet yanag bertaraf dunia.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata projek RM490 juta ini adalah ujian besar kepada pentadbiran Abdullah yang selama ini melaung-laungkan perbelanjaan telus dan berhemah.

Lim berharap dalam projek mega bernilai RM490 juta ini tidak termasuk dalam senarai projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) yang akan dimumkan oleh Abdullah hari ini.