Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir mengakui anak perempuan dan menantunya ditahan polis dalam serbuan di sebuah pub di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Bercakap kepada media, Mukhriz berkata dia kecewa kerana kedua-duanya telah melanggar PKPP dan mereka wajar didenda maksimum sebanyak RM1,000.

"Saya dah pesan dah kepada kaum keluarga saya, musim PKPP ni, janganlah langgar, kerana kita mesti tunjuk contoh yang baik. 

"Memanglah saya rasa kecewa kerana pelanggaran tetap berlaku, jadi kita dah beri teguran. Memang patutlah mereka kena kompaun," katanya kepada wartawan di Felda Besout di Perak hari ini.

Mukhriz hadir untuk berkempen bagi calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada pilihan raya kecil (PRK) Slim.

Hari pengundian bagi PRK berkenaan ditetapkan pada 29 Ogos.

Mukhriz juga mengucapkan terima kasih kepada polis Kuala Lumpur kerana mengambil tindakan tegas dan adil terhadap anak perempuannya, menantunya dan 27 individu yang lain.

"Kalau hari tu, dia bagi diskaun, silap-silap saya dan Tun dituduh mencampuri urusan polis, dan dituduh beri keistimewaaan kepada anak dan menantu.

"Dan selain mengurangkan kompaun, kita bersyukur tak dinaikkan kompaun, nanti jadi penganiayaan pula kepada mereka berdua," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, polis menyerbu sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail sekitar jam 1.20 pagi.

Kesemua 29 pelanggan yang berada di premis berkenaan dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Siasatan juga mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Mukhriz yang juga anggota parlimen Jerlun berkata, beliau memberikan respons berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis.

"Jadi kenyataan lain di luar kenyataan rasmi PDRM, saya tak layan," tambahnya.

Mukhriz berkata, dia yakin kejadian itu tidak akan mempengaruhi peluang Amir pada PRK berkenaan.

"Saya ingat tak ada kena mengena. Kalau ikut kesan, banyak lagi isu-isu di luar sana yang menjejaskan peluang calon BN," katanya.

Lihat Komen
ADS