Malaysiakini
BERITA

Pekebun Musang King dapat perintah pergantungan sementara

Ng Xiang Yi

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Ogs 2020, 11:04 tengahari

Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini membenarkan perintah pergantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada 11 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri di beberapa lokasi sekitar Raub.

Penangguhan itu diberikan selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden yang mencabar keputusan kerajaan negeri yang menganugerahkan hak sewa dan penggunaan tanah seluas 5,357 ekar (2,167,9 hektar) kepada RPDR-PKPP yang dijadualkan akan didengar semula pada 28 Oktober nanti.

Ini bermaksud pekebun durian boleh memulakan operasi ladang mereka buat sementara waktu tanpa campur tangan pihak berkuasa negeri selama dua bulan mulai hari ini.

RPDR-PKPP adalah usaha sama antara badan berkanun Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan sebuah syarikat swasta yang berkaitan dengan kerajaan, Royal Pahang Durian Resources (RPDR).

Peguam, Siew Choon Jern, yang mewakili kumpulan pekebun "Save Musang King Alliance" (Samka) berkata, mereka telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman dan perintah perintah pergantungan sementara pada 21 Ogos lalu.

Menurut Siew, mahkamah seharusnya membuat keputusan hari berhubung permohonan semakan kehakiman mereka tetapi Pejabat Peguam Negara (AGC) meminta masa untuk membaca dan menyemak dokumen yang berkaitan.

Justeru, mahkamah menetapkan 28 Oktober untuk mendengar kes itu.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuantan menetapkan 28 Okt depan untuk mendengar permohonan 111 penanam durian Musang King di Raub bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap arahan dan keputusan kerajaan negeri Pahang supaya mengosongkan kebun mereka.

Peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua penaman durian di sekitar Sungai Ruan, Tras dan Sungai Chalit itu memaklumkan demikian kepada pemberita, selepas selesai prosiding di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz, hari ini.

Menurut Siew, permohonan yang difailkan pada Jumaat lalu, sepatutnya didengar hari ini, namun Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak yang mewakili responden yang dinamakan dalam permohonan itu meminta lanjutan masa bagi meneliti semua afidavit yang disertakan.

"Kami tiada bantahan kerana, mereka sememangnya memerlukan lebih masa untuk membacanya, tetapi dalam masa sama, kami juga memohon diberikan perintah penggantungan terhadap keputusan pihak terlibat berhubung pengusiran penanam durian itu sehingga keputusan permohonan hari ini diberikan.

"Mahkamah telah membenarkan permohonan kami sehingga tarikh pendengaran permohonan (28 Okt) yang bermaksud penanam durian boleh masuk dan menjalankan kerja harian di tanah yang menjadi subject matter (isu utama) dalam hal ini, sehingga tarikh yang telah diberikan," katanya.

Siew berkata pihaknya akan segera menghantar perintah penggantungan itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana mendakwa terdapat penanam terlibat bimbang untuk ke kebun kerana tempoh yang diberikan untuk mereka mengosongkan tanah sudah berakhir.

Beliau juga mendakwa semua anak guamnya masih bersedia untuk berunding bagi mencari jalan penyelesaian dalam isu itu kerana telah lama mengusahakan kebun berkenaan, selain nenek moyang mereka juga berasal dari kawasan itu.

"Anak guam saya tidak terlibat dalam insiden memusnahkan pokok durian yang tular di media sosial yang dikatakan sebagai bantahan kepada arahan yang diterima, sebaliknya mereka bersedia mengikut prosedur yang betul iaitu melalui perundangan dan perbincangan," kata Siew.

Semua 111 penanam durian itu memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Selain arahan penggosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.