Jais buru 'Ustaz Zul' dan 500 pengikut ajaran sesat
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memburu seorang lelaki bernama Zulkifli Ismail yang juga dikenali sebagai "Ustaz Zul", kerana disyaki mengajar ajaran sesat dan merogol beberapa wanita yang dinikahinya secara batin.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memburu seorang lelaki bernama Zulkifli Ismail yang juga dikenali sebagai "Ustaz Zul", kerana disyaki mengajar ajaran sesat dan merogol beberapa wanita yang dinikahinya secara batin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, 'Ustaz Zul' adalah salah seorang 500 pemimpin dan pengikut ajaran sesat yang masih bergiat aktif di negeri itu.
Kumpulan ajaran sesat lain ialah Ibrahim Bonjol, Islam Jamaah, Haji Kahar dan Hassan Jonet yang didapati masih aktif walaupun semuanya telah diwartakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa.
Laporan media sebelum ini menyebut 'Ustaz Zul" mengamalkan pernikahan batin yang dilakukan tanpa wali, selain hanya menjadikan kitab Asma-ul-Husna (nama-nama Allah) sebagai mas kahwin.
Dia dipercayai mempunyai enam isteri dengan lima daripadanya disyaki menjalani pernikahan tidak sah.
"Mereka akan menghadapi tindakan penguatkuasaan tidak lama lagi. Mereka tidak menunjukkan usaha untuk kembali ke pangkal jalan walaupun telah diberikan peluang selama dua tahun," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Penjelasan Fatwa mengenai Islam Jamaah di Klang hari ini.
Menurut laporan Bernama, kumpulan ajaran sesat berkenaan didapati bergerak aktif di Klang, Kuala Langat dan Sepang.
"Mereka seolah-olah mencabar pihak berkuasa dan masih degil, malah ada yang sedang berusaha menambah bilangan anggota. Ada juga yang bina bangunan besar dan melanggar undang-undang sesuka hati mereka," kata Abdul Rahman.
Katanya semua mereka yang dikenakan tindakan penguatkuasaan akan dihantar ke Pusat Pemulihan Akidah di Hulu Selangor, dan jika masih ingkar, akan berhadapan dengan tindakan pendakwaan di mahkamah.
Sehingga kini, lebih 30 bekas pengikut ajaran sesat sedang mengikuti program pemulihan akidah di pusat tersebut.

