Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zawawi sedia berdialog secara harmoni
Diterbitkan:  Aug 29, 2020 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata dia bersedia untuk berdialog secara harmoni dengan mana-mana ahli parlimen susulan kenyataannya berhubung isu meminum arak di dalam kitab injil.

“Benda ni berlaku dalam dewan (Dewan Rakyat). Mana-mana yang tidak berpuas hati dengan saya boleh kita dialog secara harmoni yang disiar secara terbuka melalui media massa atau pun melalui televisyen,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada 26 Ogos, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, Zawawi berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Dia kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan Zawawi itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Ngeh turut meminta supaya Zawawi memperbetulkan kenyataannya.

Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya.

“Saya minta Yang Berhormat Beruas supaya dia mengkaji betul- betul fakta-fakta agama yang ada termasuk kalau dalam agama Kristian yakni fakta sebelum daripada Kitab Injil ini dipesongkan ataupun diubah.

“Sebenarnya, asal agama yang diturunkan termasuk agama Masihi yang dibawa oleh Nabi Allah, Isa a.s. mengharamkan apa jua bentuk arak termasuk minum yang sedikit. Yang disebut dalam kitab ini - ini bidang saya. Saya sebut ini bidang saya,” balas Zawawi.

Ketika perbahasan RUU tersebut, Zawawi turut menjelaskan bahawa kenyataannya itu berdasarkan bacaan buku yang dikarang oleh orang Islam.

“Saya baca sumber yang asal… Ini adalah bidang pengajian saya, dan saya sama sekali tidak berhasrat untuk memburukkan mana-mana agama.

“Ini kerana kalau ada agama yang membenarkan benda ini, bermakna mereka sendiri memburukkan agama mereka. Sebab, arak ini adalah benda yang sangat tidak baik dalam kehidupan manusia.

“Ia boleh memabukkan. Macam-macam perkara boleh berlaku apabila berlakunya mabuk,” katanya.

Susulan daripada itu, Persatuan Gereja di Sarawak hari ini menggesa Zawawi menarik semula kenyataannya itu dan memohon maaf.

Ketua Biskop Simon Poh dipetik Malay Mail sebagai berkata kenyataan Zawawi tidak sensitif dan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjamin hak kebebasan beragama.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Zawawi merasakan bahawa tiada sebab untuk dirinya meminta maaf.

Zawawi juga berkata tiada pihak yang seharusnya tersinggung dengan kenyataannya itu.

Lihat Komen
ADS