Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tindakan memotong bekalan elektrik di 13 premis melibatkan bangunan rumah kedai yang menjalankan kegiatan perjudian nombor ekor haram di sekitar bandar Jasin dan Merlimau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata operasi kali kedua dilakukan dalam tempoh sebulan selepas 3 Julai lalu dan kebanyakan premis itu berselindung di sebalik perniagaan alat telekomunikasi.
Dia berkata aktiviti perjudian haram semakin aktif selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19 dilonggarkan.
“Antara taktik digunakan ialah pemilik premis menyediakan lubang kecil pada pintu belakang dan memasang kamera litar tertutup di penjuru kedai bagi mengelak aktiviti haram mereka dikesan,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Merlimau.
Dalam operasi tersebut, polis turut menahan seorang lelaki warga asing dipercayai penjaga premis kedai alat telekomunikasi kerana mengemukakan kad pengenalan palsu dan kes disiasat mengikut peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
-Bernama
