mk-logo
Berita
Kilang di Sg Gong dipercayai punca gangguan bekalan air
Diterbitkan:  Sep 3, 2020 2:40 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

Kilang di Sungai Gong dipercayai menjadi punca gangguan bekalan air yang turut memberi kesan kepada 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (Luas), pihaknya sudah melakukan siasatan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan beberapa agensi lain berikutan penutupan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) pagi ini kerana pencemaran.

“Buat masa sekarang, ujian bau dilaksanakan di premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan pelarut ke dalam sungai,” katanya pada kenyataan hari ini.

Luas turut menjelaskan bahawa Sungai Gong merupakan anak sungai kepada Sungai Sembah yang merupakan anak sungai utama Sungai Selangor, di mana LRA Rantau Panjang terletak 17km ke hilir.

Dalam kenyataan berasingan, Air Selangor mengulangi kenyataan Luas, berkata premis industri yang terlibat telah ditutup oleh pihak berkuasa tempatan pada pukul 2.30 petang hari ini.

Luas memaklumkan pihaknya juga telah mencuba menyah cemar air itu dengan mengepam 400 juta liter sehari dari kolam di Bestari Jaya dan melepaskan 500 juta liter air dari Empangan Sungai Tinggi.

Luas juga telah menaikkan satu river gate di Baraj Bestari Jaya bagi tujuan mempercepatkan aliran ke hilir sungai.

Meskipun dengan usaha sedemikian, Air Selangor berkata ia akan mengambil masa untuk memulihkan sepenuhnya bekalan air kepada penduduk yang terjejas. 

Walaupun penutupan premis ini telah dilaksanakan, baki kesan pencemaran masih lagi berada di dalam sungai. Dalam tempoh ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 1,292 kawasan.

“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih kerana keempat-empat loji telah dihenti tugas melebihi 10 jam," kata Air Selangor.

Selain Rantau Panjang, antara lain yang terkesan adalah LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3.

Air Selangor berkata sampel air yang dikutip menerusi LRA mendapati pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji-loji dan berada pada tahap 3 TON.

Kawasan yang terkesan itu antaranya ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat - sebagai tambahan kepada Kuala Lumpur.

 

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Paling Popular
Terkini