Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng cabar Zuraida dedah semua surat berkenaan projek RM170 juta
Diterbitkan:  Sep 4, 2020 2:35 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencabar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin mendedahkan semua surat yang berkaitan dengan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB bernilai RM170.3 juta.

Katanya, Zuraida merupakan bekas rakan sekerja dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh berselindung di belakang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

"Zuraida Kamaruddin main helah politik bila cuba kaitkan keputusan kabinet pada 2018 untuk memotong 10 peratus daripada harga kontrak yang diluluskan oleh BN sebagai bukti saya sendiri yang buat rundingan terus. Beliau hadir dalam mesyuarat kabinet yang buat keputusan memotong harga kontrak BN sebanyak 10 peratus demi menjimatkan wang negara.

"Beliau tidak boleh berselindung di belakang SPRM, untuk tidak mendedahkan semua surat yang berkaitan dengan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB bernilai RM170.3 juta tersebut.

"Dedahkan semua surat berkaitan dari saya sekiranya ada, Zuraida sendiri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan KSU KPKT. Zuraida tidak harus mendakwa bahawa ada surat sedemikian tetapi tidak berani mendedahkan surat berkenaan secara umum ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad menunjukkan beberapa pucuk surat sebagai bukti menteri itu tidak terlibat dalam sebarang rundingan terus berhubung projek di KPKT.

Nor Hizwan dalam satu sidang media semalam berkata bahawa dia mempunyai beberapa surat, termasuk surat cadangan dari Kementerian Kewangan (MOF) dan surat dari kontraktor Bumi Segar Indah (BSI) yang ditujukan kepada KPKT.

Dia menambah, dalam surat bertarikh 21 Ogos 2018, MOF mengarahkan KPKT melengkapkan permohonan baru di pusat pemindahan sisa pepejal dan menghantar semula dalam 14 hari.

Surat itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha (KSU) MOF.

Berikutan itu, Hizwan memberitahu bahawa ketua setiausaha KPKT telah mengirim surat permohonan pada 30 Ogos 2018, ke Pejabat Belanjawan Nasional, yang berada di bawah bidang kuasa MOF.

Dalam surat lain oleh BSI yang bertarikh 29 Nov 2019, katanya, kontraktor mendedahkan kepada ketua setiausaha KPKT bahawa mereka telah membincangkan masalah itu dengan Lim pada 26 Nov 2019.

"Ini bermaksud bahawa ada perbincangan antara kontraktor dan mantan menteri kewangan Lim Guan Eng," kata Nor Hizwan.

Beliau menambah Zuraida sama sekali tidak tahu mengenai hal ini dan menurut panduan kementerian sebarang rundingan terus tidak memerlukan persetujuan menteri.

Bagaimanapun, Guan Eng mendakwa mustahil bagi seorang menteri tidak tahu mengenai projek sebesar RM170 juta.

"Tidak mungkin projek sebesar ini diluluskan tanpa pengetahuan beliau. Sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin.

"Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang Menteri “pengkhianat” PH.

"Jika terdapat mana-mana cadangan atau permohonan kepada MoF yang berkaitan dengan KPKT, perkara tersebut akan dirujuk dahulu kepada KPKT untuk proses seterusnya.

"Sekiranya ada surat arahan dari saya, Zuraida sudah tentu akan dedahkannya jauh lebih awal," katanya.

Sementara itu, bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Saifuddin Nasution berkata surat yang diuar-uarkan oleh Zuraida adalah daripada MOF yang berunding semula harga berkaitan projek-projek zaman BN.

"Seingat saya, kabinet PH masa itu ada membuat keputusan supaya projek-projek yang yang telah diberi LOA (surat setuju terima) oleh kerajaan BN hendak dirunding semula harga, bertujuan mengurangkan kos projek.

"Urusan ini dipertanggungjawab kepada MOF," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, selepas MOF menyelesaikan rundingan harga, kementerian masing-masing akan mengambil alih dalam pelaksanaan.

"Apabila diberi kelulusan oleh MOF, maka tanggungjawab pelaksanaan di bawah kementerian yang berkaitan," tambah beliau.

Untuk rekod, pada persidangan Dewan Rakyat 24 Ogos lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sepanjang pentadbiran kerajaan PH selama 22 bulan, ia telah meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Zuraida, yang juga Menteri KPKT pentadbiran PH, menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang pemberian projek secara rundingan terus dan menyatakan dua projek KPKT yang diluluskan dibuat di luar pengetahuannya.

Sabtu lepas, Guan Eng mencabar Zuraida agar mendedahkan surat berkaitan satu daripada dua projek KPKT yang diluluskan secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.

Lim mendakwa PSPTB bernilai RM170.3 juta itu dimohon sendiri oleh KPKT kepada Kementerian Kewangan.

Lihat Komen
ADS