Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: K'jaan Selangor arah roboh bengkel punca pencemaran
Diterbitkan:  Sep 5, 2020 4:44 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Kerajaan negeri Selangor mengarahkan pengosongan tapak bengkel yang menjadi punca pencemaran Sungai Gong dan memulihkan semula tanah itu dengan segera.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata notis arahan itu akan diserahkan kepada pemilik premis Isnin ini.

"Pemilik tanah terbabit mengusahakan bengkel membaiki jentera berat. Kita arahkan pemilik untuk pulihkan tanah, roboh bangunan dan henti operasi.

“Kita akan tutup kawasan itu selama tiga hingga empat bulan untuk pastikan tempat berkenaan selamat,” katanya.

Menurutnya, arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Antara lain notis itu mewajibkan pemilik meroboh bangunan atau berdepan tindakan pihak berkuasa tempatan.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, ada masa yang sesuai diperlukan untuk mengosongkan tanah.

"Tanah itu milik mereka, bukan tanah haram atau ceroboh," katanya.

Jelas Amir, bengkel berkenaan telah dikompaun RM60,000 pada Mac lalu atas kesalahan mencemarkan punca air menyebabkan ia ditutup seketika.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada masa itu tidak memiliki bukti yang cukup kuat untuk memaksa premis berkenaan menghentikan operasi.

"Kita dapati ia kembali beroperasi sejak Jun lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan diganti dengan PKP Pemulihan (PKPP)," katanya.

"Kali ini siasatan yang dilakukan secara manual, termasuk berjalan sejauh 20 kilometer menyusuri aliran sungai untuk menghidu kesan pencemaran sehingga dapat menemui bukti kukuh kesalahan itu," katanya.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata sebuah premis dipercayai menjadi punca pencemaran selepas disyaki membuang bahan pelarut ke Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Terdahulu,Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan akan melaksanakan proses pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab mencemar sumber bekalan air sehingga mengakibatkan gangguan meluas di Selangor dan Kuala Lumpur pada minggu depan.

Beliau berkata ketika ini tindakan penguatkuasaan pelbagai agensi negeri dan pusat sedang berjalan.

Katanya agensi itu membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) jabatan alam sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan pihak berkuasa tempatan.

Lihat Komen
ADS