Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buat dakwaan salah, Zahidi perlu dirujuk ke j'kuasa hak dan kebebasan - Lim
Diterbitkan:  Sep 6, 2020 3:34 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara berhubung kenyataannya ke atas pelajar Sabah, Veveonah Mosibin, menurut pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim yang juga anggota Parlimen Iskandar Puteri menyifatkan alasan Zahidi bahawa kenyataan itu berpunca daripada maklumat tidak tepat adalah "paling lemah".

“Zahidi harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara untuk dinilai bagaimana dia begitu jahil dan tidak kompeten sehingga boleh menggelar Veveonah sebagai pembohong di Dewan Negara berkenaan video Youtube dirinya memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan internet bagi menjawab peperiksaan

“Jawatankuasa Hak dan Kebebasan perlu menentukan sama ada Zahid berkata benar berkenaan mendapat maklumat tidak tepat atau ia adalah pembohongannya yang kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, jika Zahidi memang menerima maklumat tidak tepat berkenaan perkara itu, pegawai yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan.

Jika Zahidi berbohong pula, katanya lagi, dia perlu "dihukum dua kali".

Pada Jun lalu, video Veveonah, 18, memanjat pokok untuk mendapat sambungan internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian menjadi tular.

Dia kemudian ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dengan meraih pujian atas kesungguhannya, situasi tersebut juga menunjukkan keadaan kekangan infrastruktur yang dihadapi kawasan kampung di Sabah.

Video itu menunjukkan kesungguhannya dan ada masa sama, memaparkan jurang infrastruktur yang dihadapi rakyat Malaysia yang tinggal di pedalaman Sabah.

Setelah video itu mendapat liputan media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan rancangan membina menara telekomunikasi berdekatan kampung Veveonah bagi membekalkan jaringan internet 4G.

Ketika sidang Dewan negara pada 3 Sept lalu, Zahidi mendakwa Veveonah sebenarnya tidak menduduki sebarang peperiksaan sebaliknya membuat tindakan itu untuk mengisi kandungan saluran Youtubenya.

“...Dia hanya YouTuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu,” kata Zahidi.

Dia kemudian memohon maaf atas dakwaan itu dan berkata telah maklumat yang salah ketika berbahas di Dewan.

Veveonah juga menafikan dakwaan Zahid dan menunjukkan jadual peperiksaannya sebagai bukti.

Lihat Komen
ADS