Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes harian Covid-19 melonjak 62, sebahagian besar di Sabah
Diterbitkan:  Sep 7, 2020 5:10 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Setakat tengah hari tadi, kes Covid-19 baru di Malaysia menyaksikan lonjakan 62 kes, dengan sebahagian besar kes dicatat di Sabah.

Kenaikan itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh kira-kira tiga bulan, iaitu kali terakhir pada 4 Jun (277 kes).

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes baru yang dilaporkan hari ini terdiri daripada 56 kes tempatan dan enam import.

Enam kes import melibatkan dua warganegara dan empat bukan warganegara.

Daripada 56 kes penularan tempatan yang dilaporkan, 30 merupakan warganegara dan 26 bukan warganegara.

51 kes di Sabah terdiri daripada 50 yang dikesan dari Kluster Benteng dan satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dikesan di Hospital Lahad Datu.

Empat kes di Kedah terdiri daripada dua kes daripada kluster baru yang digelar Kluster Sungai, satu kes saringan Kluster Telaga dan satu kes saringan bergejala di sebuah klinik pergigian di Alor Setar.

Satu kes selebihnya dicatat di Pulau Pinang.

Perkembangan ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 yang direkod di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 9,459 kes.

Mengambil kira 9,124 kes yang terlah sembuh termasuk sembilan kes hari ini, jumlah kes aktif adalah 207 kes.

Tiada kes kematian baru dilaporkan. Jumlah korban kekal 128.

Penularan di Sabah

Kluster Benteng dikesan pada 1 Sept dari dua pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah pada 24 Ogos 2020.

Hari ini, seramai 50 lagi individu dikesan positif dari kluster itu.

Dalam tempoh tujuh hari, seramai 1,404 orang telah disaring dan 66 kes positif dikesan melibatkan kluster ini.

Daripada 66 kes positif kluster ini, sebanyak 64 kes melibatkan banduan (97.0 peratus) manakala dua (2) lagi kes (3.0 peratus) merupakan seorang pegawai penjara dan anak saudaranya.

Jumlah saringan yang telah dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan 631 banduan, 98 kakitangan penjara, 157 ahli keluarga kakitangan dan banduan, 78 anggota polis; dan 440 orang pegawai agensi kerajaan lain.

Kluster ini melibatkan daerah Lahad Datu dan Tawau, dengan 30 kes (45.5 peratus) merupakan warganegara Malaysia dan 36 kes (54.5 peratus) bukan warganegara.

Bagi daerah Lahad Datu, seramai 420 disaring, dan 50 kes dikesan positif (22 warganegara, 28 bukan warganegara). Seramai 337 individu negatif dan 33 individu masih menunggu keputusan.

Bagi daerah Tawau seramai 984 disaring, dengan setakat ini 16 kes dikesan positif (8 warganegara, 8 bukan warganegara). Seramai 230 individu negatif dan 738 individu masih menunggu keputusan.

"Berdasarkan analisis risiko yang dijalankan, faktor penularan Covid-19 bagi kluster ini adalah ruang lokap yang sesak dan sempit.

"Didapati penjarakan fizikal sukar diamalkan. Ini merupakan penyumbang utama penularan jangkitan Covid-19 di kalangan banduan.

"Justeru, kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting dan harus diamalkan sepanjang masa tanpa mengira tempat," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster baru di Kedah

Sementara itu, KKM hari ini juga memaklumkan bahawa satu kluster baru dikenal pasti di sebuah pusat perubatan di Kedah.

Kes indeks (Kes ke-9455) kluster ini merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut yang bergejala sejak 30 Ogos tetapi tidak mendapatkan rawatan.

Ujian saringan pada 5 Sept mendapati dia positif.

Kes kedua kluster ini (Kes ke-9456) merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah.

Dia juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Dia bergejala sejak 5 Sept dan mendapatkan rawatan di pusat

perubatan yang sama.

Ujian saringan pada 5 Sept mendapati dia positif. Kedua-dua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan.

Setakat hari ini, seramai 57 daripada kluster ini telah disaring, dengan dua kes dikesan positif, dan 55 menunggu keputusan.


 





Lihat Komen
ADS