Sembilan warga Sri Lanka yang bekerja sebagai tukang cuci sebuah syarikat rangkaian pawagam terkenal di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang membuat laporan polis selepas majikan mereka didakwa gagal membayar gaji selama enam bulan.
Mereka membuat aduan tersebut di Balai Polis USJ 8 hari ini dengan dibantu Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan serta beberapa yang lain.
Laporan polis yangdilihat Malaysiakini itu mendakwa mereka datang ke Malaysia dengan permit kerja yang sah pada April 2019 dan bekerja di syarikat pawagam terbabit sejak Mei 2019.
Lapan daripada mereka bekerja di Pulau Pinang manakala seorang lagi di Kuala Lumpur. Mereka dijanji gaji bulanan sebanyak RM1,660 serta kemudahan asrama.
“Sejak 18 Mac, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semua kami tidak dibayar gaji.
“Apabila kami meminta gaji, majikan menghalau kami keluar dari asrama pada 1 Julai. Majikan juga enggan menyerahkan semula passport kami,” lapor mereka.
Mangsa turut mendakwa Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka menasihati mereka supaya membuat laporan polis dan Jabatan Tenaga Kerja.
Sementara itu Arutchelvan berkata PSM akan membawa mereka ke Jabatan Tenaga Kerja hari ini selepas berpendapat warga asing terbabit dibunag kerja secara tidak sah.
Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka pula, katanya, tidak dapat membantu mendapatkan semula pasport masing-masing daripada majikan berkenaan.
“Mereka nak tuntut gaji enam bulan selain daripada passport dan tiket untuk pulang Sri Lanka," katanya.
Majikan mereka, tambah Arutchelvan, merupakan rangkaian pawagam besar di negara ini.
Majikan itu, katanya, memegang pasport warga asing itu dan gagal menyerahkannya apabila diminta pihak kedutaan Sri Lanka.
