Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan mohon maaf pada Veveonah
Diterbitkan:  Sep 10, 2020 9:38 AM
Dikemaskini: 9:38 AM

Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menyampaikan permohon maaf kerajaan kepada Veveonah Mosibin ekoran kontroversi yang tercetus baru-baru ini.

Berada di Kota Kinabalu pada hari Umno mengumumkan calon mereka untuk pilihan raya negeri (PRN) kali ini, Khairy berkata dia bertemu dengan remaja terbabit di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Permohonan maaf daripada kerajaan itu turut disampaikan Khairy kepada ibu dan bapa pelajar terbabit.

"Saya mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan," ciapnya di Twitter petang ini.

Bekas ketua Pemuda Umno itu juga mencadangkan agar Veveonah, 18, untuk bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia untuk membangunkan kampungnya dengan projek inovasi bagi pemuliharaan alam sekitar.

Terdahulu isu kesahihan Veveonah bersusah payah memanjat pokok untuk membolehkan dia mendapai capaian internet dipertikaikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, di Dewan Negara baru-baru ini.

Lebih memburukkan keadaan, Timbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri - yang menyalurkan maklumat berkenaan Veveonah kepada Zahidi - mempertahankan dakwaannya bahawa ketika pelajar terbabit memanjat pokok, tiada peperiksaan berlangsung di UMS.

Abdul Rahim yang juga ahli parlimen Kudat bagaimanapun memadamkan kenyataan yang dibuatnya di media sosial selepas mendapat kecaman orang ramai.

Sebelum berlepas ke Sabah tadi, Khairy sempat ditanya mengenai isu Veveonah oleh wartawan Channel News Asia, Melissa Goh.

Kata Khairy, ketika Perikatan Nasional berdepan cabaran di Sabah, "kebodohan" cara dua timbalan menteri terbabit menguruskan isu tersebut hanya menyukarkan lagi usaha kerajaan untuk mendapat kemenangan dalam PRN di negeri berkenaan.

 

Lihat Komen
ADS