Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN dan sekutu akan pilih KM Sabah, kata presiden Umno
Diterbitkan:  Sep 12, 2020 1:30 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Dalam perkembangan yang dilihat sebagai tempelakan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa gabungan BN dan rakan kongsinya akan memutuskan ketua menteri Sabah jika mereka berjaya menawan negeri itu.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat memberi isyarat bahawa cadangan yang dibuat Muhyiddin selaku presiden Bersatu, bahawa Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Mohd Nor adalah calon ketua menteri, tidak mencapai kata sepakat dari rakan sekutu mereka.

“Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh Adun BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” ciap Ahmad Zahid di Twitter hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin ketika berucap sempena penamaan calon PN di Sabah, dia dilaporkan berkata bahawa Hajiji diumumkan sebagai calon ketua menteri jika Perikatan Nasional dan sekutunya BN dan PBS berjaya menawan Sabah daripada Warisan atau gabungan Warisan Plus.

Selain Ahmad Zahid, Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan juga berkata bahawa keputusan tersebut tidak dicapai kata putus dengan parti sekutu, BN.

“Tidak dibincang dengan BN,” katanya ringkas dalam hantaran di Facebook sambil melampirkan tangkap layar pengumuman Muhyiddin tersebut.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah turut senada dengan kedua-dua pimpinan partinya dan mengingatkan Muhyiddin supaya menumpukan kemenangan PN pada PRN Sabah.

“Bukankah lebih baik fokuskan kemenangan parti-parti dalam PRN Sabah dahulu, baik mewakili Pakatan Harapan mahupun BN.

“Bagi saya, itu adalah agenda utama kita di PRN Sabah bagi menumbangkan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Armand, demi kerjasama politik, cadangan ketua menteri Sabah sewajarnya dibawa dalam perbincangan bagi mendapat persetujuan bersama parti-parti gabungan terlebih dahulu

“Bukankah ianya satu tradisi parti yang mempunyai kemenangan kerusi terbanyak diberikan keutamaan dalam mencadangkan nama bakal ketua menteri dengan persetujuan rakan-rakan politik dalam hubungan Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.

Lihat Komen
ADS