Malaysiakini
BERITA

Perwakilan: Usah tentang keputusan PAS tak bertanding di Sabah

Diterbitkan

Perwakilan Kelantan Hassan Mahmood mengingatkan pemimpin dan ahli parti itu supaya akur dengan keputusan pucuk pimpinan PAS untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Jelasnya, mereka boleh untuk melahirkan kekecewaan atas keputusan itu, namun tidak boleh sama sekali menentang keputusan pucuk pimpinan.

"Termasuk keputusan (dibuat) pimpinan kita, di Sabah kita tak bertanding.

"Untuk luah rasa kecewa boleh, nak menetang (keputusan) tak boleh. (Perlu) ambil tindakan (mereka yang menentang)," katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden PAS di muktamar tahunan parti itu di Kota Bharu, hari ini.

Dengan memetik sirah Nabi Muhammad SAW, Hassan berkata Rasulullah mengarahkan supaya mereka yang tidak mengikut perintah ketuanya agar dibunuh.

Bagaimanapun dalam konteks PAS, katanya, mereka yang ingkar keputusan yang dibuat pucuk pimpinan perlu dikenakan tindakan.

Kelmarin, PAS mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Sabah, bagi mengelakkan pertembungan dengan calon parti sekutunya.

Perkara itu dinyatakan presidennya Abdul Hadi Awang, berhubung ketiadaan calon daripada parti itu dalam pilihan raya kali ini.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menceritakan wujud desakan supaya parti itu diberi laluan ketika rundingan kerusi dibuat sebelum ini.

Namun, katanya keputusan untuk PAS tidak bertanding itu dilakukan bagi mengelak daripada perangkap yang dipasang oleh musuh.

Dalam pada itu, Hassan yang juga Adun Tawang berkata PAS perlu memperkukuhkan kerajaan terlebih dulu sebelum berbicara soal pelaksanaan hukum hudud.

"Asas kerajaan adalah pengawal, kita baru ada pengawal. Jadi sekarang nak buat macam mana? Kena perkukuhan pagar, dalam keadaan sekarang kukuhkan pagar dahulu.

"Kita (perlu) memperkukuhkan kerajaan untuk laksanakan agenda Islam," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.