Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kian ramai golongan muda Melayu belajar Mandarin sebagai bahasa ketiga

Populariti kelas bahasa Mandarin didapati kian meningkat di kalangan warga Malaysia yang mula mengakui kepentingannya, terutama untuk hidup di negara pelbagai kaum.

Peningkatan ini termasuk di kalangan yang bukan berketurunan Cina.

Ia dapat dilihat dengan kelas bahasa Mandarin yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kelas-kelas ini menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium pengajaran dan bagi memenuhi kehendak pelajar Melayu yang mahu belajar bahasa itu atas sebab tersendiri.

Salah satu kelas adalah Khizanat Mandarin di Ipoh, Perak. Ia diasaskan oleh Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi, 21, yang tiada keturunan Cina tetapi belajar bahasa itu ketika belajar di sekolah vernakular.

Menurut Deena, ketika mula mengadakan sesi pengajaran secara ad hoc pada 2018, dia tidak begitu memikirkan tentang permintaan untuk kelas seumpama itu.

"Saya hanya buat secara suka-suka dan mahu kongsi kemahiran dengan semua orang," katanya.

Tidak lama kemudian, dia mula mendapat permintaan kalangan daripada pelbagai latar belakang, yang membuatkannya mengadakan kelas secara formal di Ipoh.

Deena dan pelajarnya

 Kini dia memiliki pelajar seramai 40 orang yang kebanyakannya menyertai kelas itu kerana mendapati pembelajaran dalam Bahasa Malaysia adalah lebih mudah.

"Pelajar saya terdiri daripada mereka berusia 19-45 tahun, daripada pelbagai bidang - juru jual, peguam, barista hinggalah doktor gigi dan ahli perniagaan.

"Mereka belajar daripada saya (kerana) saya Melayu, jadi lebih mudah untuk saya beri penjelasan kepada mereka."

Pengarah pemasaran, Ahmad Hunain berkata dia menyertai kelas itu untuk meningkatkan kemahiran perniagaannya.

"Sebagai pemilik perniagaan, belajar Mandarin - selain bahasa Inggeris - memudahkan saya untuk berkomunikasi secara terus dengan pelanggan dalam dan luar negara," kata pemuda berusia 27 tahun itu.

Populariti bahasa Mandarin di kalangan golongan muda Melayu juga dapat dilihat di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut pensyarah bahasa dan linguistik Universiti Malaya (UM), Yap Teng Teng, Mandarin menjadi "bahasa asing" paling popular yang diambil pelajar.

Yap berkata perkara itu dipengaruhi lanskap politik antarabangsa - iaitu kedudukan China sebagai kuasa besar dunia.

Kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi menjadikan Mandarin bahasa kedua pilihan di seluruh dunia, kata Yap yang turut membuat kajian berkenaan pembelajaran bahasa itu di kalangan kaum bukan Cina di Malaysia.

"Pada 2004, kurang 30 juta yang belajar bahasa ini di seluruh dunia. Setakat 2015, ia meningkat kepada 120 juta orang," katanya lagi.

Masyarakat Melayu juga tidak ketinggalan dengan kian ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah Cina, bagi meningkatkan lagi daya saing mereka di masa depan.

Katanya, golongan muda Melayu melihat bahasa itu sebagai alat perkembangan, berbeza dengan generasi sebelumnya yang menganggapnya sebagai bahasa ibunda masyarakat Cina semata-mata.

Memenuhi permintaan orang Melayu

Penyedia pembelajaran bahasa Mandarin, MandarinJer mula mengesan trend ini di kalangan golongan muda Melayu pada 2009, apabila ia memulakan kelas pertamanya.

Ketika itu, menurut ketua penyelarasnya Ebby Lee, sukatan mata pelajaran untuk penutur Bahasa Malaysia sukar didapati, berbeza dengan hari ini.

Kebanyakannya adalah kamus atau lebih memberi tumpuan kepada tata bahasa dan ia tidak begitu memikat buat orang Melayu yang memiliki minat untuk mendalami bahasa itu, kata Lee yang turut memiliki keturunan Melayu.

Ia membuatkan MandarinJer merangka sukatan pelajaran dan pendekatan pengajaran sendiri dengan tumpuan kepada masyarakat Melayu.

Kini ia memiliki kelas di lima lokasi di Lembah Klang dan mempunyai 50,000 pengikut di Twitter.

Mesra dengan nama Ebby Lao Shi - bermaksud Cikgu Ebby - di kalangan pelajar, dia berkata kebanyakan pelajar MandarinJer adalah golongan dewasa yang telah bekerja, yang mahu belajar bahasa itu sebagai kelebihan dalam bidang masing-masing.

Bagaimanapun ada juga yang mengakui mereka mempelajarinya untuk mengelak daripada menjadi bahan gosip rakan sekerja yang bercakap dalam bahasa itu.

Anak daripada perkahwinan campur, Lee berkata dia bukan saja mengongsikan falsafah, sejarah dan budaya Cina dalam pengajarannya, tetapi juga pengalaman membesar dalam dua budaya, iaitu Cina dan Melayu.

Dia juga cuba mencari titik persamaan antara budaya Cina dengan budaya Melayu-Islam bagi membantu pemahaman pelajarnya.

"Saya suka mencari perkara yang dekat dengan pelajar, misalnya dalam bahasa Mandarin intonasi sangat penting ketika membina ayat. Satu kesilapan boleh mengubah maksud keseluruhan.

"Jadi saya beri contoh berkenaan pentingnya tajwid ketika membaca Quran dan Mandarin juga begitu."

Jambatan antara kaum

Ahmad Hunain berkata bahasa Mandarin memang membantu kerjayanya, tetapi antara sebab dia mempelajarinya adalah untuk menyumbang kepada keharmonian dalam negara.

"Saya galakkan orang lain untuk belajar Mandarin kerana ia bukan saja antara bahasa yang paling banyak digunakan di dunia, tetapi kerana kita boleh mengeratkan hubungan melaluinya, memandangkan Malaysia adalah negara majmuk," katanya.

Lee turut senada dengan Hunain, dengan berkata pelajarnya cuba memahami warga Malaysia yang lain dan merapatkan jurang antara mereka.

"Daripada perspektif saya, ia tentang usaha. Misalnya jika ingin lebih memahami kawan India, kita belajar bahasa Tamil.

"Bermula dengan bahasa, kita kemudian boleh belajar tentang sejarah dan budaya. Kita belajar budaya dan tradisi untuk saling memahami.

"Daripada usaha itu, orang (daripada kaum lain) akan menjadi lebih gembira dan rasa rapat dengan kita, dan mereka juga ingin memahami kita. Ia membina jambatan antara kaum," katanya lagi.

Yap berharap semakin ramai orang Melayu akan melihat Mandarin sebagai bahasa penting bukan sahaja atas faktor ekonomi tetapi untuk merapatkan jurang antara kaum.

Kerangka pembelajaran bahasa Mandarin di Malaysia perlu berdasarkan keharmonian etnik dengan kepentingan nasional dasar yang memandunya, katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS