Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Mowgli Malaysia’ bersedih, puluhan kerbau mati mengejut
Diterbitkan:  Sep 14, 2020 1:10 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Mohd Shukor Khamis, remaja yang sebelum ini mencuri perhatian selepas gambarnya bersama kerbau peliharaannya tular, kini berdepan dengan kematian puluhan ekor kerbaunya yang berlaku secara mengejut.

Simpati dengan berita itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad hari ini menasihati Syukor dan bapanya, Khamis Jusoh supaya bersabar menghadapinya.

“Pagi ini menerima berita kematian tiba-tiba 25 ekor kerbau Pak Khamis di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.

“Kepada anakanda Syukor sekeluarga, banyakkan bersabar. Saya dimaklumkan, Syukor dan Pak Khamis amat sedih sekarang,” tulisnya di hantaran di Facebook hari ini.

Syukor, remaja berusia 15 tahun sebelum ini pernah digelar ‘Mowgli Malaysia’ kerana aksinya yang cukup unik bersama kerbau-kerbau peliharaannya yang menarik perhatian jurugambar.

Daripada apa yang menimpa Syukor dan Khamis, Zulkifli juga berpesan bahawa hidup dan mati adalah ketentuan Allah.

“Jasad kita juga adalah milik-Nya. Sedih itu hal yang biasa namun usah terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah SWT.

“Maha suci Allah yang mengikat pertalian kasih antara manusia dan haiwan dengan sebegitu erat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, portal Berita Harian Online yang meninjau ke kandang kerbau keluarga itu di Kampung Banggol Katong melaporkan lebih 30 daripada 110 kerbau mereka mati secara mengejut sejak Rabu lalu.

"Pada mulanya hanya seekor yang mati pada Rabu tanpa sebarang tanda kematian dan disangka penyakit biasa.

"Keesokan harinya, seekor lagi yang mati sebelum dua ekor pada Jumaat, empat ekor pada Sabtu dan 11 ekor pada Ahad.

"Hari ini sahaja 10 ekor mati dan dijangka lebih lima ekor lagi yang akan mati kerana sebab yang sama," katanya yang dipetik akbar itu.

Akhbar itu juga memetik, ayahnya, Khamis Jusoh, 64 sebagai berkata, keluarganya buntu memikirkan penyakit yang menular itu.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu sudah datang dan membuat siasatan punca kematian kerbau.

"Berkemungkinan besar ia mati kerana penyakit hawar berdarah bagaimanapun keputusan ke atas pemeriksaan itu akan diperoleh dua minggu lagi.

"Kerbau yang mati itu hanya mengalami selsema tanpa menunjukkan tanda-tanda diserang penyakit," katanya.

Khamis juga dipetik sebagai berkata mereka kerugian hampir RM200,000 susulan kematian lebih 30 kerbau itu.

Sebelum ini, bakat semula jadi Syukor bersama kerbaunya sejak kecil itu menghasilkan gambar-gambar fotogenik yang diambil oleh jurugambar Mohd Nazri Sulaiman dan Abdullah Deen Mohd Zain, sehingga foto yang diambil oleh Mohd Nazri berjaya meraih anugerah Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.

Foto-foto Syukor turut memberi ilham kepada penghasilan telefilem Budok Kuba, yang menyaksikan Syukor sebagai pelakon utama.

Lihat Komen
ADS