Malaysiakini
BERITA

Lima lelaki didakwa cemar Sungai Gong tak dibenar ikat jamin

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Sep 2020, 4:58 pagi

Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur, hari ini berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, tidak dibenar dibebaskan dengan ikat jamin.

Hakim Syafeera Mohd Said membuat keputusan itu selepas menimbang hujahan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili kesemua tertuduh.

Kelima-lima lelaki tersebut iaitu empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik - Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel tersebut, Ho Voon Leong, 59, yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat saling berpandangan selepas mendengar keputusan mahkamah.

Kesemua mereka yang tiba di Mahkamah Selayang pada 8.45 pagi kemudiannya dibawa ke Penjara Bentong, Pahang pada 11.05 pagi.

Terdahulu Muhamad Iskandar tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kes tersebut tidak boleh dijamin.

“Kes ini mengakibatkan enam juta penduduk di Malaysia tidak ada air selama lima hari. Isu ini juga telah mendapat perhatian pucuk pimpinan teratas negara.

“Sekiranya mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan saya, saya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM2 juta bagi setiap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, M Reza merayu jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

“Ketika kejadian anak-anak guam saya yang menyerah diri di balai polis … selain itu, mereka juga bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Sebelum itu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lebih 40 wakil media tempatan berada di depan pintu mahkamah seawal 7 pagi sebelum dibenarkan masuk pada 8 pagi.

Susulan pencemaran minyak daripada kilang itu pada 3 Sept lalu, empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

- Bernama


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.