Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terlalu pilih lokasi pekerjaaan antara punca siswazah menganggur
Diterbitkan:  Sep 15, 2020 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Terlalu memilih lokasi tertentu untuk memohon pekerjaan dan mempunyai kemahiran insani yang rendah dikenal pasti sebagai antara punca utama siswazah di negara ini gagal mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian, kata Kementerian Sumber Manusia.

Timbalan Menterinya Awang Hashim berkata selain itu, kegagalan siswazah mendapat maklumat tentang kekosongan jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan serta kursus yang dimiliki juga turut menyumbang kepada masalah tersebut.

“Kelulusan atau CGPA yang rendah juga menyebabkan majikan-majikan kurang berminat untuk menggaji calon-calon dalam kategori ini selain ketidaksepadanan di antara bidang pengajian sesetengah siswazah dengan pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Senator Idris Ahmad tentang statistik dan data berkenaan pengangguran dalam kalangan yang memiliki ijazah pertama sejak 2015 hingga Julai lalu.

Katanya berdasarkan Laporan Statistik Siswazah 2016, jumlah siswazah menganggur pada 2016 ialah seramai 145,800 orang atau empat peratus sementara pada 2017 seramai 154,500 orang (4 peratus); seramai 161,300 orang (3.9 peratus) pada 2018 dan 170,300 orang (3.9 peratus ) pada tahun lepas.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah itu, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional (JKPN) yang berperanan membincangkan inisiatif pembaharuan jangka panjang memandangkan terdapat isu-isu pasaran pekerjaan yang bersifat ‘structural’ seperti ketidaksepadanan berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 202,117 peluang pekerjaan ditawarkan oleh majikan kepada golongan siswazah menerusi portal MY Future Jobs dalam tempoh Jun hingga 14 Ogos lalu.

MY Future Jobs diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas, selaras inisiatif Penjana Kerjaya yang dilaksanakan bagi merangsang kewujudan pekerjaan dan meningkatkan peluang pekerjaan.

Awang berkata selain portal MY Future Jobs, kementerian menerusi Jabatan Tenaga Kerja juga telah mengadakan pelbagai program bagi membantu golongan siswazah memperoleh pekerjaan sekali gus mengurangkan penganguran dalam kalangan mereka.

“Antara inisiatif itu ialah mengadakan karnival kerjaya dan temuduga terbuka … menerusi pelbagai program ini, seramai 7,178 orang berjaya mendapat tempat dalam pekerjaan,’’ katanya, menjawab soalan tambahan Idris tentang inisiatif yang diambil kementerian bagi membantu institusi pengajian tinggi dalam mewujudkan sumber manusia yang berkesan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS