Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafie persoal bagaimana pembangkang Sabah nak laksanakan manifesto

PRN SABAH | Ketua Menteri sementara Sabah, Shafie Apdal mempersoalkan apakah pakatan pembangkang yang disifatkannya telah 'retak' di Sabah dapat melaksanakan manifesto yang dijadual akan diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin petang ini.

"Mereka boleh bercakap (tentang manifesto) tetapi mereka tak bersatu.

"Nampak baik tapi pelaksanaannya (lebih) penting. Kamu boleh cakap seberapa baik manifesto itu, tetapi sama ada ia dapat dilaksanakan atau boleh dicapai, itu isu lain," katanya kepada media pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu pagi ini.

Beliau mengulas mengenai manifesto "AkuJanji" Perikatan Nasional (PN) dan BN, yang antara lain membolehkan kuasa autonomi yang lebih besar bagi kerajaan negeri dalam membuat keputusan sesuatu projek pembangunan, sementara peruntukan disalurkan oleh kerajaan pusat.

Pada 12 Sept lalu, Muhyiddin mengumumkan bahawa pembangkang di Sabah, terutama PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan dijenamakan semula sebagai Gagasan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun keutuhan gabungan itu kini dipersoalkan apabila PBS memutuskan untuk tidak menghadiri pelancaran manifesto "AkuJanji" hari ini.

Menurut notis yang dikirimkan kepada media, perdana menteri hanya akan melancarkan manifesto PN dan BN.

PBS melancarkan manifestonya sendiri, yang antara lain mahu menggubal undang-undang anti-lompat parti dan mewujudkan kad pengenalan Sabah untuk membendung masalah pendatang tanpa izin.

Selain itu, BN dan PN dilihat berselisih pendapat dalam menentukan calon ketua menteri.

Shafie, yang merupakan presiden Warisan, berkata partinya telah mengumumkan visi dan misinya yang merupakan kesinambungan daripada manifesto pilihan raya umum 2018.

Dia juga mengatakan Warisan dan sekutunya tegas dalam mengetengahkan keperluan penduduk tempatan.

Sementara itu, Shafie juga menolak undangan anggota Majlis Tertinggi Bersatu Azmin Ali untuk berdebat dengan calon ketua menteri dari Bersatu, Hajiji Noor.

"Jangan buang masa, dia boleh buang masa. Dia (Hajiji) adalah anggota Pakatan Harapan, tetapi dia melompat, dia adalah 'katak'," katanya.

Ketika ditanya mengenai gesaan Bersih agar semua calon ketua menteri berdebat, Shafie berkata dia harus menumpukan usaha dalam memenangi pilihan raya negeri ini.

"Baiklah, bila-bila masa saja. Tetapi yang penting adalah saya sangat fokus dalam memenangi piihan raya ini. Bagaimana kita boleh memenangi pilihan raya, saya harus menjangkau sebanyak mungkin (pengundi) di Sabah," katanya.

Pilihan Raya Negeri Sabah ditetapkan pada 26 Sept ini.

Lihat Komen
ADS