Malaysiakini
BERITA

Lagi penipuan Macau Scam, kali ini pesara guru rugi hampir setengah juta

Bernama

Diterbitkan

Seorang pesara guru kerugian hampir setengah juta ringgit termasuk wang persaraan dan hasil jualan barang kemas isteri selepas diperdaya sindiket Macau Scam bulan lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jenayah Korporat dan Kewangan Johor Supt Amran Md Jusin berkata lelaki berusia 64 tahun terbabit mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pihak Pos Laju pada 1 Ogos.

Katanya suspek memaklumkan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan mangsa serta memberitahu mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

"Suspek meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke beberapa akaun bank supaya siasatan lanjut boleh dijalankan.

"Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu membuat 20 transaksi pemindahan wang berjumlah RM459,041.90 ke beberapa akaun diarahkan suspek secara berperingkat bermula 11 hingga 28 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek sekali lagi menghubunginya memberitahu mahu mendakwa mangsa di mahkamah walaupun mangsa telah membuat pembayaran yang diminta.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Amran turut menasihati orang ramai agar tidak panik dan mudah mempercayai individu yang mendakwa membuat panggilan daripada agensi penguatkuasaan kerana pihak berkuasa tidak akan sesekali meminta butiran akaun bank serta mengarahkan wang dipindahkan ke akaun bank lain.

“Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan menghubungi balai polis berhampiran atau membuat semakan terhadap akaun bank yang diberi suspek melalui laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk mengesahkan sama ada bank tersebut terlibat dengan mana-mana kes penipuan,” katanya.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.