Malaysiakini
BERITA

Pemimpin k'jaan, pembangkang ucap selamat Hari Malaysia

Diterbitkan

Beberapa pemimpin kerajaan dan juga pembangkang hari ini tidak melepaskan peluang mengucapkan 'Selamat Hari Malaysia' kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam catatan di laman Facebook miliknya berkata Hari Malaysia adalah lambang kedaulatan, keharmonian dan kemakmuran sebuah negara yang dibangunkan bersama oleh rakyat berbilang etnik, bahasa, budaya dan agama sama ada di semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Tarikh 16 Sept juga mengingatkan kita kepada erti dan pengorbanan yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia… kita bersatu padu menempuh setiap cabaran, memerangi Covid-19 dan mengorak langkah ke masa hadapan.

"Hari Malaysia amat bermakna buat kita semua…. Selamat Hari Malaysia 2020 kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata tema Malaysia Prihatin melambangkan usahasama utuh antara petugas barisan hadapan yang berbakti dan berkorban, serta rakyat jelata yang gigih berusaha di sisi kerajaan yang prihatin dalam menjaga kesihatan, kebajikan dan menjana semula ekonomi ketika negara sedang memerangi Covid-19

Turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Malaysia di laman Facebook ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang berkata frasa 'Kita Jaga Kita' membuktikan rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang mahupun fahaman politik

"Satu hati inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum atau etnik dan budaya dapat bergerak dengan aman, harmoni serta makmur… 

"Inilah keunikan Malaysia yang perlu kita kekal dan pertahankan sampai bila-bila supaya dapat dinikmati generasi akan datang," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berkata sambutan Hari Malaysia setiap tahun mengingatkan kepada peristiwa bersejarah penubuhan Persekutuan Malaysia dan hari ini kerajaan Perikatan Nasional beriltizam untuk memartabatkan taraf Sabah dan Sarawak sebagai 'equal partners' dalam Malaysia sebagaimana termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

"Tekad kerajaan Perikatan Nasional terserlah melalui kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang telah memulakan usaha untuk menyelesaikan pelbagai isu-isu berkaitan hak rakyat Sabah dan Sarawak," katanya melalui hantaran di Facebook rasminya.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menerusi video pendek berdurasi dua minit 52 saat yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, mengimbau kembali saat pemasyhuran Malaysia oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 16 Sept 1963, semasa ketika itu beliau berusia 38 tahun.

Beliau berkata perasaannya ketika itu bercampur baur kerana pembentukan negara Malaysia mendapat tentangan hebat daripada beberapa negara jiran.

"Alhamdulillah, hari ini sudah 57 tahun kewujudan Malaysia. Banyak yang kita lalui bersama. Sudah jauh kita melangkah.. 

"Saya yakin, jika semangat dan persetujuan yang telah dimeterai dahulu dapat kita hayati dan laksanakan, segala kemusykilan dapat kita leraikan. Apabila ini tercapai, sudah pasti kita boleh maju ke depan dengan langkah yang lebih gigih dan jitu," katanya.

Ketua pembangkang dan ahli parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya pula mengajak semua rakyat memperkukuh persefahaman antara kaum dan agama serta terus menjunjung perlembangan dan semangat federalisme.

Beliau berkata semua pihak harus memikir dan merencana sebaik mungkin dalam memantapkan kedudukan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 agar kedua-dua negeri itu tidak lagi disisihkan dari pembangunan yang seimbang dan munasabah.

"Hari Malaysia menjadi kesinambungan dan titik penting kelangsungan tatanan (aturan) ini yang menjanjikan keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh warganya yang berbilang kaum. 

"Atas semangat ini juga kita rakyat Malaysia seluruhnya harus bertekad dan berpadu atas asas-asas penting iaitu keamanan, kesejahteraan dan kerukunan.

"Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian negara Malaysia bersama Semenanjung Tanah Melayu harus dilihat setara dan sepadan, dan ini harus mencakup aspek pembangunan yang saksama dan adil," kata presiden PKR itu.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.