Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DOJ dakwa pengarah syarikat permainan video di Perak terlibat skandal godam

Dua rakyat Malaysia antara yang didakwa terlibat dalam skandal godam antarabangsa adalah pengarah di sebuah kedai permainan video dalam talian (game store) yang beroperasi di Perak.

Reuters hari ini melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendakwa tujuh individu termasuk warga Malaysia, Wong Ong Hua, 46 dan Ling Yang Ching, 32 kerana bersubahat dengan penggodam dari China.

Kedua-dua mereka didakwa bekerjasama dengan penggodam untuk "mengaut keuntungan daripada pencerobohan komputer" yang mensasarkan syarikat permainan video di AS,  Perancis, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.

Dalam laporan New York Times mengenai dakwaan itu, penggodam dikatakan telah bekerjasama dengan rakyat Malaysia untuk "mencuri dan mengubah wang" melalui industri permainan video.

Kedua-dua laporan berkenaan menyatakan bahawa Wong dan Ling telah ditangkap.

Dalam kenyataan media petang tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk memberi kebenaran ekstradisi di bawah Akta Ekstradisi 1992 dan perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan AS.

Ini selepas permintaan ekstradisi diterima dari pihak berkuasa AS pada 3 September, dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mengeluarkan waran pemberkasan sementara terhadap kedua-dua suspek pada 11 September.

Permohonan reman telah dibenarkan oleh mahkamah majistret selama 60 hari di bawah Seksyen 16 (1) Akta Ekstradisi 1992 serta artikel 11(4) Triti Ekstradiri di antara kerajaan Malaysia dengan AS.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh Selangor," katanya.

Wong adalah pengasas kedai permainan video dalam talian SEA Gamer Mall Sdn Bhd sementara Ling adalah ketua pegawai produknya.

Menurut rekod syarikat, kedua-duanya berperanan sebagai pengarah syarikat yang berusia 13 tahun itu.

Beribu pejabat di Sitiawan, Perak, laman webnya menyenaraikan pejabat di China, Thailand, dan Indonesia.

Tersenarai untuk dijual di laman web SEA Gamer Mall termasuk "kad top-up" untuk permainan dalam talian yang popular seperti PUBG dan Mobile Legends, kad hadiah digital, dan juga kredit mudah alih prabayar.

Menurut rekod syarikat, ia memperoleh pendapatan RM386.4 juta dan keuntungan RM11.6 juta pada 2019.

Bercakap kepada The Star, Ketua Pegawai Operasi SEA Gamer Mall Tommy Chieng mengatakan syarikat itu "sedang meneliti" dokumen DOJ.

"Apa yang dapat saya katakan ialah kami sedang meneliti surat dakwaan.

"Peguam kami sedang mengusahakannya. Tidak ada komen lain,” katanya.

Antara lima pengarah SEA Gamer Mall adalah Nerine dan Chryseis Tan, anak perempuan pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan.

Vincent juga merupakan pemegang saham utama dalam syarikat melalui Cyberventures Sdn Bhd.

Cyberventures dimiliki oleh Vecc-Men Holdings Sdn Bhd, di mana Vincent mempunyai kepentingan.

Berjaya Corporation masih belum menjawab permintaan Malaysiakini untuk memberi komen mengenai tuduhan tersebut.

Bersama dengan Wong dan Ling, DOJ AS menuntut lima warga China - Zhang Haoran, Tan Dailin, Jiang Lizhi, Qian Chuan, dan Fu Qiang - kerana menggodam "lebih 100 syarikat" di dalam dan di luar AS.

Syarikat-syarikat tersebut merangkumi syarikat pembangun perisian, pengeluar komputer, penyedia telekomunikasi, syarikat media sosial, firma permainan, organisasi nirlaba, universiti, dan kumpulan pemikir.

Sasaran juga merangkumi kerajaan asing serta ahli politik pro-demokrasi dan tokoh masyarakat sivil di Hong Kong.

Dalam sidang media mengenai dakwaan itu, Wakil Peguam Negara AS Jeffrey Rosen mengatakan pihak berkuasa China telah "memilih" untuk tidak menegakkan undang-undang terhadap para penggodam.

"Pemerintah China telah membuat pilihan yang disengajakan untuk membiarkan warganya melakukan pencerobohan dan serangan komputer di seluruh dunia kerana pelaku ini juga akan membantu Republik Rakyat China," katanya.

Lihat Komen
ADS