Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vincent Tan: Anak saya letak jawatan sebelum dakwaan kejadian godam
Diterbitkan:  Sep 18, 2020 3:03 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Ahli perniagaan Vincent Tan cuba menjauhkan anak-anaknya dari kontroversi melibatkan syarikat permainan video dalam talian, SEA Gamer Mall Sdn Bhd (SEAGM), setelah dua eksekutif tertinggi syarikat itu dikaitkan dengan skandal godam antarabangsa.

Namun, dia juga membela Sea Gamer Mall dengan berkata ketua pegawai eksekutif (CEO) Wong Ong Hua dan ketua pegawai produk Ling Yang Ching, tidak memiliki kemahiran untuk melakukan salah laku seperti yang didakwa.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) telah menuduh Wong dan Ling dengan 23 tuduhan termasuk bersekongkol dengan penggodam dari China untuk "mendapat keuntungan daripada pencerobohan komputer" yang mensasarkan syarikat permainan komputer di AS, Perancis, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.

Dalam satu kenyataan, Vincent mengatakan bahawa anak perempuannya, Nerine dan Chryseis Tan, hanya pengarah nominal, dan telah meletakkan jawatan dari syarikat itu sebelum kejadian godam yang didakwa.

“Sepanjang masa, anak perempuan saya sama sekali tidak terlibat dalam menguruskan syarikat. Mereka hanyalah wakil saya di lembaga SEA Gamer Mall. Nerine dan Chryseis sebenarnya sudah mengundurkan diri sebelum kejadian ini," katanya.

Fail Suruhanjaya Syarikat (SSM) SEA Gamer Mall masih menyenaraikan Nerine dan Chryseis sebagai pengarah.

Dokumen tersebut mengandungi ringkasan laporan kewangan 2019 syarikat yang dibentangkan pada 30 Jun tahun ini.

Sementara itu, mengenai Wong dan Ling, Vincent mengatakan: "Baik SEA Gamer Mall mahupun dua pegawai syarikat itu tidak memiliki kepakaran atau alat dalam pencerobohan dan penggodaman komputer.

"Kedua-dua mereka tetap tidak bersalah dan telah melantik peguam Malaysia untuk mewakili mereka," tambahnya.

Vincent berkata bahawa dia telah menjadi pelabur pasif di syarikat itu selama 13 tahun, dan bahawa dia "mungkin memilih untuk melepaskan apabila tiba masa yang sesuai".

Dia menambah syarikatnya, Berjaya Group, tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat Sea Gamer Mall.

Laman web SEA Gamer Mall adalah kedai dalam talian yang menjual "kad top-up" untuk permainan dalam talian yang popular, kad hadiah digital dan kredit mudah alih prabayar.

Laman web itu mendakwa mempunyai satu juta pengguna berdaftar dan 350,000 pengguna aktif setiap bulan.

Rekod syarikat menunjukkan ia memperoleh pendapatan RM386.4 juta dan keuntungan RM11.6 juta pada tahun 2019.

Menurut DOJ, penggodam telah bersekongkol dengan Wong dan Ling untuk "mencuri dan mengubah wang" melalui industri permainan video.

Kedua-dua mereka telah ditangkap dan sedang menjalani proses ekstradisi untuk menghadapi tuduhan di AS.

Lihat Komen
ADS